Asyraf Wajdi melihat kekotoran di MRSM Terendak yang disifatkan terdaif dan paling uzur.

MELAKA – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Sungai Udang, di sini, dikelaskan sebagai MRSM terdaif dan teruzur apabila tandas dan bilik guru yang tidak boleh digunakan selain lantai dipenuhi najis tikus.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang membuat pemeriksaan mengejut selepas menerima laporan 48 pelajarnya mengalami keracunan makanan malam tadi.

“Saya lihat sendiri apa berlaku dan berbanding 39 MRSM yang telah saya lawati daripada keseluruhan 57 MRSM, saya punya penilaian MRSM Terendak ini dalam keadaan yang amat daif dan uzur terutamanya fasiliti tertentu.

“Dalam konteks ini saya akan ambil tanggungjawab sepenuhnya untuk MARA memberikan keutamaan untuk menaiktaraf kemudahan asas seperti tandas termasuk ada bilik guru yang tidak boleh digunakan langsung,” katanya.

Kemudahan termasuk bilik guru yang langsung tidak boleh digunakan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW 2024 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau telah mengarahkan pengetua MRSM Terendak menyenaraikan keutamaan dalam tempoh sebulan menggunakan peruntukan segera diluluskan berjumlah RM400,000.

“Paling penting sekali tandas, bilik guru dan asrama mesti pada tahap yang baik kerana saya telah luluskan tadi tidak kurang RM400,000 untuk tujuan penyelenggaraan kemudahan itu.

“Kejadian seperti tidak sepatutnya berlaku di MRSM berusia 41 tahun ini yang mempunyai 663 pelajar dan saya mengambil serius perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 48 pelajar Tingkatan 1 dan 2 MRSM itu mengalami keracunan makanan bermula dengan lapan orang pelajar yang diterima malam tadi.

“Tadi saya bersama Pejabat Kesihatan dapati berlaku kekotoran yang mana ada tahi tikus dan keadaan dapur tidak terurus baik.

“Namun pihak Kesihatan masih melakukan siasatan apakah punca sebenar sama ada berpunca daripada Dewan Selera atau makanan berbungkus dari koperasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast