Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih atas limpah perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima permohonan ampun daripada beliau.

Beliau turut berikrar untuk mematuhi titah nasihat baginda agar lebih berhati-hati dalam tutur kata, khususnya ketika berada di Negeri Selangor.

Beliau juga menzahirkan harapan agar sifat pengampun dan kebaikan hati Sultan Selangor akan membawa kebaikan kepada negeri Selangor serta menambahkan daulat dalam pemerintahan baginda.

“Dengan penuh hormat dan takzim, saya merafak sembah mendoakan semoga DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah dipanjangkan usia oleh Allah SWT serta berada dalam keadaan sihat walafiat untuk terus melaksanakan tanggungjawab memerintah penuh adil dan cemerlang.

“Saya merakamkan ucapan menjunjung kasih atas limpah perkenan DYMM Tuanku menerima permohonan ampun daripada saya sebagaimana yang dititahkan semalam.

“Saya berazam akan mematuhi titah nasihat DYMM Sultan Selangor untuk saya lebih berhati-hati serta menjaga tutur kata khususnya ketika berada di Negeri Selangor Darul Ehsan dan mudah-mudahan sifat pengampun dan kebaikan hati yang ada pada baginda akan membawa lebih banyak kebaikan serta menambahkan lagi daulat dalam pemerintahan DYMM Tuanku,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan menerima permohonan ampun daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain.

Namun, baginda menasihatkan Muhammad Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila. – MalaysiaGazette