Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Pulau Pinang menzahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan tidak berasas dan berbaur hasutan perkauman yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Setiausahanya, Siranjeev Ram berkata, tuduhan mengatakan DUN Sungai Bakap tidak mendapat bekalan air kerana diskriminasi terhadap orang Melayu adalah satu tohmahan tidak masuk akal dan berniat jahat.

Tegas beliau, kenyataan itu bukan sahaja mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab tetapi juga menunjukkan betapa rendahnya taraf politik Perikatan Nasional (PN) yang terus memainkan isu 3R (raja, bangsa, agama) setiap kali menjelang pilihan raya.

“Jika inilah tahap politik PN, jelas sekali mereka ketandusan idea dan tidak mempunyai hujah yang bermanfaat untuk ditawarkan kepada rakyat. Acap kali berdepan dengan isu, PN lebih gemar untuk mengaitkan dengan kaum atau agama.

“Sikap seperti ini hanya akan memecahbelahkan rakyat dan menanam kebencian yang tidak perlu. Ia menunjukkan betapa terdesaknya PN dalam meraih sokongan dengan cara yang tidak bermoral.

“Adakah Muhammad Sanusi tidak arif akan isu-isu semasa sehingga beliau tidak mengetahui bahawa kerajaan telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri Perak telah bersetuju untuk membekalkan air kepada Pulau Pinang sebagai langkah menyelesaikan isu bekalan air di negeri ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Siranjeev, isu air di Sungai Bakap adalah berkaitan dengan masalah infrastruktur dan pengurusan sumber air bukannya soal diskriminasi kaum.

“Penyelesaian kepada masalah ini memerlukan perancangan dan kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat.

“Rakyat Malaysia, khususnya di Pulau Pinang, memerlukan kepimpinan yang berwibawa dan berintegriti, bukan politikus yang hanya tahu bermain sentimen perkauman dan agama.

“Sudah tiba masanya kita menolak politik murahan ini dan memilih pemimpin yang benar-benar komited untuk memperbaiki kehidupan rakyat dengan dasar-dasar yang konstruktif dan inklusif,” katanya.

Sehubungan itu, MUDA Pulau Pinang menyeru semua pihak untuk menolak politik perpecahan dan memilih jalan yang membawa kemajuan dan keharmonian untuk semua. – MalaysiaGazette