Datuk Noor Hisam Nordin (kanan)

KUANTAN – Pihak polis masih menunggu hasil laporan bedah siasat bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden bas membawa rombongan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram dengan sebuah treler, 9 Jun lalu.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya telah merujuk Jabatan Peguam Negara  bagi perkembangan siasatan untuk tindakan lanjut berkenaan kes itu sebelum proses pertuduhan dijalankan.

”Setakat ini (proses) untuk melengkapkan kertas siastan dan laporan bedah siasat sebelum suspek dituduh di mahkamah.

”Siasatan masih lagi dalam tindakan dan kita  telah rujuk Timbalan Pendakwa Raya , cuma menunggu laporan hasil bedah siasat,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Pahang hari ini.

Difahamkan pemandu bas hanya mengalami kecederaan ringan dan sehingga kini tiada tangkapan dibuat terhadap mana-mana individu.

Pada 10 Jun lalu, sampel air kencing dan darah pemandu bas terbabit sudah diambil polis untuk diuji.

Hasil ujian adalah negatif.

Nahas 1.30 pagi, 10 Jun lalu mengorbankan empat nyawa apabila sebuah bas persiaran yang membawa 39 penumpang dilaporkan merempuh treler sebelum terbalik di Kilometer 126, Jalan Kuantan-Segamat dekat simpang tiga menghala ke Bahau.

Bas persiaran tersebut membawa 22 guru SK Jeram dalam perjalanan dari Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Dalam tragedi itu, polis mengesahkan Dahlia Ahmad, 52, seorang guru agama sebagai mangsa keempat yang meninggal dunia malam tadi ketika menerima rawatan selepas menjalani pembedahan di Unit Rawatan Rapi HTAA.

Mangsa ketiga pula merupakan penumpang dalam bas berkenaan dikenali sebagai Hamzah Ahmad, 60, yang bertugas sebagai Pembantu Operasi SK Jeram juga meninggal dunia.

Selain itu, seorang lagi guru wanita, Hasnatul Adilah Hassan, 48, pula meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kedua bas juga disahkan maut ialah Mohd Adi Hasan, 29, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah. – MalaysiaGazette