BARU-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengarahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang, agar menyenaraikan 100 saintis dalam bidang bioteknologi untuk menjalankan program di 100 sekolah untuk meningkatkan agenda Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Malaysia.

Perdana Menteri sebelum ini menyatakan kebimbangan terhadap penurunan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dilihat sebagai elemen kritikal dalam pembangunan negara. Melalui inisiatif yang melibatkan saintis dan akademik berpengalaman turun padang ke sekolah-sekolah, adalah diharapkan minat pelajar terhadap STEM dapat dipupuk dan dipertingkatkan.

Atas kebimbangan tersebut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bertekad menjadi universiti awam pertama yang mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Perdana Menteri dengan melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi menggalakkan minat pelajar terhadap bidang ini.

Keupayaan saintifik UMPSA

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah diiktiraf sebagai universiti ke-146 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024. Dengan pencapaian itu, ia meletakkan UMPSA di kedudukan nombor satu terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan ketiga terbaik di Malaysia.

UMPSA dengan yakin menyatakan kesediaannya untuk menjadi universiti awam pertama yang mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Perdana Menteri. Ini berdasarkan kekuatan dan komitmen yang sedia ada dalam kalangan warga akademik dan penyelidik di UMPSA.

UMPSA memiliki saintis terkemuka yang diiktiraf diperingkat global dan bersedia menjayakan agenda yang dihasratkan oleh Perdana Menteri. Selain itu, seramai 22 orang penyelidik UMPSA telah disenaraikan di dalam 2% saintis terbaik dunia iaitu satu pengiktirafan yang jelas menunjukkan kepakaran dan kualiti akademik yang tinggi yang boleh membantu dan menyokong hasrat negara bagi meningkatkan minat STEM di sekolah.

Kepakaran yang dimiliki oleh para saintis ini bukan sahaja berupaya menyumbang kepada peningkatan minat pelajar terhadap STEM, malah juga dalam menyampaikan pengetahuan dan pengalaman yang berharga kepada para pelajar sekolah. Para saintis ini boleh digerakkan sebilang masa dan turun ke sekolah-sekolah mendekati pelajar-pelajar dengan segala kepakaran dan pengalaman mereka melalui penyelidikan yang telah berjaya dilaksanakan, penulisan artikel, hands on, pembangunan produk, pengkomersilan untuk dikongsikan bagi menarik minat pelajar dalam STEM.

Program Profesor turun padang

Inisiatif Profesor Turun Padang UMPSA menemui pelajar dan melaksanakan pelbagai inisiatif STEM mampu memberi kesedaran secara langsung kepada pelajar supaya lebih `celik ilmu’ serta berkongsi maklumat mengenai kepakaran, pengetahuan dan pengalaman dari segi akademik dan profesional dalam pelbagai bidang terutamanya bidang STEM. Profesor Turun Padang ini sangat sinonim di UMPSA dan di negeri Pahang dengan pelbagai pelaksanaan program serta aktiviti yang banyak memanfaatkan pelajar-pelajar terutamanya di dalam bidang STEM. UMPSA telah melaksanakan inisiatif Profesor Turun Padang ini melibatkan beberapa buah negeri termasuk di Sabah dan di Sarawak.

Salah satu program yang telah dilaksanakan oleh UMPSA melalui salah satu pusat pengajian iaitu Pusat Sains Matematik (PSM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Assunta Convent dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) telah menganjurkan Program Profesor Turun Padang iaitu Robotic Bootcamp. Program yang dilaksanakan ini telah berlangsung selama 2 hari melibatkan 120 orang murid dari 5 buah sekolah dari daerah Kuantan iaitu SK Assunta Convent, SK Pelindung, SK St. Thomas, SK Teruntum dan SK Sungai Karang. Dalam program ini pelajar-pelajar dapat mempelajari konsep asas dan cara pengendalian robot Lego EV3 Mindstorms dengan berpandukan modul yang telah dibangunkan oleh Profesor UMPSA dan berpeluang melawat dan meninjau fasiliti makmal di UMPSA. Pelajar sekolah juga berpeluang menimba pengalaman secara praktikal dalam menyiapkan tugasan secara berkumpulan bagi projek Team Challenge seperti Park Your Robot, Create a Companion, Surprise Button, Angular Drive dan Capstone Challenge: Roadwork & Cleaning Robot.

Program lain yang dilaksanakan oleh UMPSA ialah Program Profesor Turun Padang bagi Kursus Penggunaan Teknologi Biofeedback. Program ini dikendalikan oleh pasukan Profesor dari Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) dan melibatkan guru-guru bimbingan dan kaunseling di seluruh negeri Pahang. Program yang dianjurkan secara bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK) Negeri Pahang ini telah berjaya memberikan pendedahan mengenai penggunaan teknologi biofeedback dalam pembelajaran dan pembangunan peribadi, serta bertujuan untuk dilaksanakan di seluruh negara. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada guru-guru, tetapi juga secara tidak langsung kepada pelajar-pelajar yang dibimbing oleh mereka.

Program Faculty@School

UMPSA juga melaksanakan kolaborasi strategik akademik bersama sekolah-sekolah di negeri Pahang bagi inisiatif ‘faculty@school’ bagi memberi pendedahan awal pelajar kepada bidang kejuruteraan & teknologi serta galakan minat pelajar kepada STEM. Di bawah inisiatif ini, sekolah-sekolah yang terlibat akan ditindikkan kepada fakulti-fakulti di UMPSA. Pelajar-pelajar sekolah akan menjalankan pelbagai aktiviti sains, teknologi dan kejuruteraan bersama pensyarah di makmal-makmal yang disediakan mengikut kepada modul latihan yang ditetapkan.

Modul-modul ini direka adalah untuk memberikan pengalaman praktikal dan interaktif kepada para pelajar bagi menunjukkan minat yang tinggi untuk meneroka lebih lanjut dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ini. Hasil daripada tindikan pelajar-pelajar sekolah bersama fakulti di UMPSA seawal di Tingkatan 3, 4 dan 5 ini akan membolehkan pelajar-pelajar ini memahami program-program akademik berteraskan sains, teknologi dan kejuruteraan seterusnya menimbulkan minat mereka terhadap STEM. Selain itu juga, pelaksanaan pendekatan pembelajaran berasaskan projek di mana pelajar boleh terlibat dalam projek dan penyelidikan secara langsung. Projek-projek ini membolehkan pelajar meneroka minat mereka sendiri, menggunakan konsep saintifik dan matematik, dan membangunkan kemahiran dalam menyelesaikan masalah dan pemikiran kritis.

Inisiatif ini telah mendapat sokongan yang baik daripada sekolah-sekolah di Kuantan Pahang malah inisiatif program ini juga telah disebar-luaskan ke negeri Perak dan di Kelantan. Hasil daripada inisiatif program ini, pihak MOSTI telah menaja program ini bagi pelaksanaannya di sekolah-sekolah di Kelantan. Sokongan dan bantuan daripada pelbagai agensi di dalam memartabatkan agenda STEM telah menunjukkan indikator yang sangat positif yang mana keterlibatan pelbagai pihak termasuk agensi dan pihak korporat perlu bersama di dalam menjayakan agenda STEM negara.

Komitmen UMPSA dalam menyokong agenda nasional

Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang berwibawa, UMPSA komited untuk memainkan peranan yang signifikan dalam menyokong agenda nasional bagi meningkatkan minat pelajar terhadap bidang STEM. Pelbagai inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan oleh UMPSA bukan sahaja bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan, tetapi juga untuk menyediakan platform yang kukuh bagi pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing di dalam bidang TVET termaju.

Kesediaan UMPSA untuk menyahut seruan Perdana Menteri mencerminkan dedikasi dan komitmen universiti dalam memacu pembangunan pendidikan tinggi di Malaysia. Dengan sokongan padu daripada kerajaan dan kerjasama erat dengan pelbagai pihak berkepentingan, UMPSA yakin mampu untuk merealisasikan matlamat meningkatkan minat dan penglibatan pelajar dalam bidang STEM, seterusnya menyumbang kepada kemajuan sains, teknologi dan kejuruteraan negara.

UMPSA percaya bahawa kejayaan dalam meningkatkan minat pelajar terhadap STEM memerlukan kerjasama dan komitmen daripada pelbagai pihak. Oleh itu, UMPSA juga menyeru agar semua institusi pendidikan, pihak industri, ibu bapa, dan komuniti setempat untuk bersama-sama memainkan peranan mereka dalam menyokong usaha ini. Dengan sokongan yang padu, UMPSA yakin bahawa matlamat untuk melahirkan generasi muda yang celik sains dan teknologi serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa akan dapat dicapai.

Kesimpulannya, dengan kepakaran dan komitmen yang dimiliki, UMPSA bertekad untuk terus menjadi peneraju dalam bidang TVET termaju, serta memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan yang berdaya saing dan inovatif. Semoga usaha ini mendapat sokongan padu daripada semua pihak dan dapat mencapai kejayaan yang diharapkan terutamanya bagi meningkatkan minat pelajar-pelajar di dalam bidang STEM sepertimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri .

Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pekan, Pahang