Hannah Yeoh.

PUTRAJAYA – Atlet Malaysia yang masih bertanding di Sukan Olimpik Paris 2023 terutama  di bawah program Road To Gold (RTG) perlu terus fokus dalam misi membawa pulang pingat emas pertama negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap mereka menggunakan masa dengan sebaik mungkin bagi melakukan persiapan terbaik sebelum turun bertanding dalam acara masing-masing.

Jelas beliau, sekretariat Malaysia di sana sedia membantu mana-mana atlet yang memerlukan bantuan.

“Saya berharap atlet yang masih bertanding memanfaatkan masa yang ada di Paris dengan sepenuhnya kerana setiap hari itu bernilai.

“Saya juga berharap atlet-atlet di bawah program RTG untuk terus yakin kerana mereka sudah diberikan (perkhidmatan) yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri acara amal AEON Charity Run 2024 yang diadakan di Anjung Floria di sini hari ini

Hannah turut mengucapkan terima kasih kepada perenang negara Khiew Hoe Yean dan penembak Johnathan Wong, atas usaha keras mereka di temasya berprestij itu.

Beliau juga memaklumkan akan berlepas ke Paris pada 31 Julai ini bagi memberi sokongan kepada atlet negara yang bertanding di sana.

Sementara itu, pada majlis hari ini, Hannah bersama Presiden Yayasan AEON Malaysia Datuk Iskandar Sarudin menyampaikan sumbangan RM1 juta kepada program AEON KASiH.

Program tersebut bermatlamat membantu golongan B40 yang memerlukan bantuan dari segi kos perubatan atau rawatan. – MalaysiaGazette