Filem thriller berkisar mahkamah, Vijay LLB The Advocate bakal ditayangkan di pawagam mulai 1 Ogos ini.

KUALA LUMPUR – Kemunculan filem Vijay LLB The Advocate di pawagam pada 1 Ogos  pasti membuatkan ramai yang menganggap filem ini berkaitan dengan peguam atau bidang perundangan.

Berbeza dengan karya tempatan Tamil yang lain, Vijay LLB The Advocate menampilkan jalan cerita yang luar biasa – berbeza dari kebiasaan pengkarya drama tempatan.

Ini adalah filem Tamil tempatan pertama yang mengisahkan cerita di sebalik tabir mahkamah.

Filem yang menggabungkan elemen drama dan thriller itu bukan sahaja mengangkat ‘pergolakan’ mahkamah ke layar perak tetapi menawarkan realiti kehidupan yang cukup menarik.

Filem yang diadaptasi daripada kisah sebenar sebuah novel dan disesuaikan dengan sentuhan elemen tempatan itu tidak boleh dipandang enteng kerana ia memiliki mesej serta pengajaran berguna yang mahu disampaikan kepada penonton.

Plot penceritaannya bermula dengan pembunuhan seorang pelajar kolej dan seorang pensyarah bernama Venthan dikaitkan dengan insiden itu.

Meskipun semua bukti dan keterangan saksi yang dikemukakan di mahkamah mendedahkan Venthan adalah pembunuh namun ia tidak meyakinkan Vijay sebagai peguam yang juga pelakon utama.

Jadi dia terpanggil untuk membantu dan merungkai kebenaran di sebalik pembunuhan itu kerana dia dan Venthan merupakan rakan sewaktu zaman kanak-kanak namun sudah lama tidak berhubung.

Jadi, apakah pengakhiran cerita di sebalik pembunuhan itu dan apakah Vijay mampu merungkai kisah sebenar? Semuanya terjawab di pawagam berhampiran anda mulai 1 Ogos ini.

Selain memiliki plot penceritaan yang luar biasa, terdapat beberapa ‘pengajaran’ yang turut diselitkan dan boleh dirungkai kebenarannya oleh penonton dalam Vijay LLB The Advocate.

Berkongsi mengenai filem itu, penyampai radio Raaga, Uthaya yang membawa watak utama sebagai Vijay berkata, selain memiliki plot penceritaan yang luar biasa, terdapat beberapa ‘pengajaran’ yang turut diselitkan dan boleh dirungkai kebenarannya oleh penonton.

“Saya memberi jaminan Vijay LLB ini bukan sahaja menimbulkan rasa dramatik malah penonton pastinya akan rasa ingin tahu apa yang bakal berlaku dalam babak seterusnya,” katanya.

Uthaya yang juga produser filem itu berkata, deretan plot yang menggemparkan itu bakal membuat penonton tidak ‘senang’ duduk.

Melihat banyak wajah baharu menerusi filem itu, Uthaya mahu memberi peluang kepada pelakon baharu untuk mengetengahkan bakat mereka.

Lebih menarik lagi, kumpulan orkestra berprestij di Hungary, Budapest Philharmonic turut mempamerkan genre muzik yang menakjubkan dalam filem itu.

Orkestra yang diasaskan oleh komposer dan pengarah muzik popular Ferenc Erkel, terkenal dengan persembahan di Hungarian State Opera House.

Filem berdurasi dua jam lima minit ini dijangka membawa fenomena dalam landskap perfileman muzik tempatan kerana turut digabungkan dengan komposer muzik terkenal dari India, G. V. Prakash Kumar yang membawa sebuah lagu.

Sebagai kelainan, tiga hari sebelum filem arahan Kannan Raajamanickam itu ditayangkan, serami 1,111 penonton diberi peluang menonton filem itu lebih awal menerusi Gala Premiere Show dengan pembelian tiket RM20 di MBO Quayside Mall, Shah Alam pukul 3 petang. – MalaysiaGazette