Majlis Peluncuran Penemuan Banci Ekonomi 2023 disempurnakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Malaysia berpotensi menjadi ekonomi Harimau Asia sekiranya berlandaskan kepada ekonomi masa depan dengan menumpukan sektor bernilai tinggi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini kerana pelabur atau syarikat antarabangsa mahu melihat sama ada ekonomi Malaysia boleh mengambil peluang dengan kelebihan itu untuk berada di depan.

Dari segi kompleksiti, faktor itu juga bergantung kepada berapa banyak keluaran eksport dengan kemampuan negara untuk menjadi hub kewangan antarabangsa, selain prestasi semasa Bursa Malaysia.

“Ketersediaan Malaysia dalam sektor-sektor ekonomi masa akan datang termasuklah dari segi kemampanan sektor tenaga, kemudian dari segi pertumbuhan pusat data.

“Dan juga potensi skala industri ekonomi melangkaui aktiviti sedia ada, disokong pusat data dunia yang akan dikendalikan oleh AI (kecerdasan buatan).

“Berdasarkan kepada perkara-perkara ini, sebab itu juga syarikat antarabangsa memberi tumpuan kepada Malaysia untuk melihat sama ada kita boleh menggunakan kelebihan-kelebihan itu untuk berada di depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Peluncuran Penemuan Banci Ekonomi 2023 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd. Uzir Mahidin.

Mengulas lanjut, Rafizi bagaimanapun kurang setuju dengan definisi Harimau Asia kerana sasaran ekonomi yang kukuh perlu mengikut piawai antarabangsa.

Beliau berkata, antara tumpuan ekonomi negara mestilah melalui penciptaan dan reka bentuk cip.

“Tetapi jika dilihat didalam Banci Ekonomi (2023), syarikat yang mereka bentuk cip di Malaysia boleh dikira dengan jari.

“Jadi bolehkah kita sebagai kerajaan memastikan dasar-dasar dan program untuk tempoh lima tahun akan datang memberi tumpuan kepada sektor-sektor sebegini.

“Tidak ada definisi harimau, ini apa dia. Tetapi kalau (KDNK) kita pada empat hingga lima peratus setiap tahun dan mata wang mengukuh sekitar RM4.20 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) untuk beberapa tahun akan datang, Malaysia akan jadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Ini adalah piawai mudah. Soal harimau tak harimau, dia ada piawai tetapi pelabur melihat potensi masa depan. Jadi Malaysia berpotensi untuk tumbuh dengan baik. Kalau pergi kepada dalam sektor masa depan dilihat negara berpotensi jadi harimau (Asia),” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata tinjauan positif daripada penganalisis dan agensi penarafan, disokong oleh angka ekonomi yang memberangsangkan adalah petunjuk bahawa Malaysia sedang mencatat kemajuan ketara untuk mendapatkan semula status ‘Harimau Asia’. – MalaysiaGazette