Kapal Cruise Tasik Putrajaya merupakan salah satu tarikan yang terkenal di Putrajaya. Pengunjung dapat melihat pelbagai bangunan ikonik dan pemandangan menarik Putrajaya. Pelancong boleh menikmati pengalaman menaiki Kapal Cruise Tasik Putrajaya dengan harga tiket bermula serendah Rm30 dan ia di buka setiap hari dari jam 10 Pagi hingga 7.30 Malam. Pelancong menikmati pemandangan sekitar putrajaya dengan menaiki kapal cruise di Taman Tasik Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 11 JANUARI 2024.

BACHOK – Malaysia mencatatkan 58.6 juta pelancong domestik bagi suku pertama tahun ini, iaitu meningkat 19 peratus berbanding 49.26 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM24.1 bilion perbelanjaan pelancong domestik direkodkan.

“Jumlah perbelanjaan pelancong domestik ini meningkat 25.3 peratus berbanding tahun lepas yang berjumlah RM19.21 bilion.

“Pelancong domestik diambil kira bagi yang melakukan perjalanan melebihi 25 kilometer dan bermalam manakala jika tidak bermalam, mereka tidak dikira sebagai pelancong, hanya direkodkan sebagai pelawat biasa atau datang untuk bekerja,” katanya kepada pemberita pada program Temasya Orang Kampung (TOK) 3.0 “Sanggar Warisan” 2024 di Kem D’Telong di sini hari ini.

Beliau berkata antara faktor peningkatan pelancong domestik ialah jumlah cuti yang banyak dan kecenderungan untuk menikmati ketenangan terkini menjadi trend semasa rakyat Malaysia.

Musa berkata. antara negeri yang tertinggi dikunjungi ialah Selangor, diikuti Pahang dan Melaka yang mempunyai banyak tarikan pelancongan.

“Orang sekarang suka healing, bercuti atau melancong yang kini bukan lagi berkaitan dengan kemewahan, tetapi lebih kepada keperluan untuk mencari ketenangan dan berseronok bersama keluarga,” katanya.

Beliau berkata pelawat dicadangkan membuat perancangan awal bagi mengelak kos lebih mahal terutama pada musim kemuncak seperti cuti sekolah atau perayaan.

Mengulas mengenai program TOK, beliau berkata penganjuran aktiviti pelancongan di pedalaman mampu dijadikan antara tarikan pelancong ke Malaysia yang memberi pengalaman peribadi menyertai sukan rakyat, seni budaya dan produk kraftangan tempatan mampu memberi penilaian berbeza kepada pelancong.

Musa berkata acara menarik dalam program TOK termasuk sukan rakyat seperti tarik upih dan galah panjang, selain aktiviti kukur kelapa, demonstrasi pembuatan tembikar, tikar kercut, tengkolok dan atap singgora serta pameran jualan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast