BahrinMohd Noh (tengah) menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek yang terlibat tujuh kes curi, pada sidang akhbar di IPD Kluang, Kluang, hari ini.

KLUANG – Polis menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga emas dan remaja tidak bersekolah kerana terlibat kes curi kabel tembaga dan pecah sekolah yang dilaporkan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, warga emas itu merupakan pemilik kedai barang lusuh yang bersubahat membeli barang curi daripada enam suspek berkenaan.

“Enam suspek berkenaan termasuk remaja berusia 16 tahun itu disiasat kerana dipercayai terbabit dalam enam kes curi kabel tembaga dan satu kes satu pecah sekolah di Machap.

“Polis merampas sebuah kereta Proton Wira, telefon bimbit, projektor, empat guni berisi kabel tembaga dan menemui semula 13 komputer riba yang membabitkan kerugian RM25,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, hari ini.

Katanya, kejayaan tersebut adalah hasil selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung kes pecah masuk sekolah pada 13 Julai lalu.

Susulan kejadian itu ujar beliau, sepasukan anggota dari IPD Kluang menahan tujuh lelaki tempatan dalam serbuan bermula dari pukul 1 hingga 4.30 petang, 30 Julai hingga 2 Ogos lalu.

“Hasil soal siasatan dijalankan terhadap semua suspek telah berjaya menyelesaikan tujuh kes jenayah yang membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM25,000,” katanya.

Bahrin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Sementara warga emas berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda atau penjara,” katanya.

Tambahnya, reman terhadap semua suspek yang berusia 16 hingga 74 tahun itu dibenarkan selama empat hari hingga esok.- MalaysiaGazette