Mohamad Haizan (empat dari kiri) diumum sebagai calon PN bagi PRK DUN Mahkota di dalam Majlis Pengumuman Calon PN di Bilik Gerakan Utama PN PRK DUN Mahkota di Kampung Melayu, Kluang, malam ini.

KLUANG – Bekas pemain bola sepak Johor FA, Mohamad Haizan Jaafar, 61, diumum sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pengumuman dibuat Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam Majlis Pengumuman Calon PN di Bilik Gerakan Utama PN PRK DUN Mahkota di Kampung Melayu Dahlia di sini malam ini.

Turut hadir Pengarah PRK DUN Mahkota, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.

Hamzah ketika berucap berkata, menang atau kalah bukan tujuan PN menyertai PRK DUN Mahkota tetapi kerana mahu membela nasib rakyat yang ditindas kerajaan zalim ketika ini.

“Tujuan kita menyerai pilihan raya adalah untuk membela nasib dan masa depan rakyat,” katanya sambil disambut sorakan kira-kira 300 penyokong dan jentera PN.

Sementara itu, Abdullah yang juga Timbalan Pengerusi PN Johor yakin Mohamad Haizan akan diterima semua pengundi DUN Mahkota.

Katanya, Mohamad Haizan adalah calon terbaik yang diketengahkan PN dan mampu untuk berkhidmat kepada semua kaum.

Selain itu, Dr Sahruddin pula berkata, jentera PN sudah mula mendampingi rakyat di DUN Mahkota sejak 17 Ogos lalu dan gerak kerja jenteradilihat berjalan dengan sempurna.

Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, sambutan masyarakat DUN Mahkota dilihat positif terutama ketika jentera menyantuni mereka di surau, masjid dan warung.

“Kita seharusnya kena pastikan gerak kerja kita berjalan dengan tersusun, santuni seberapa ramai masyarakat di DUN Mahkota,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Haizan yang juga Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Kluang berterima kasih kepada Presiden Bersatu dan pucuk pimpinan kerana memilihnya menjadi calon.

Bapa kepada tiga anak itu yakin mampu mendekati pengundi di DUN Mahkota yang berbilang kaum.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.