KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan melahirkan rasa kecewa dengan sumbangan ihsan sebanyak RM30,000 oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada keluarga mangsa tanah jerlus di Masjid India, G Vijaya Lakshmi baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tapah mempersoalkan apakah nilai nyawa manusia yang menjadi mangsa kecuaian itu hanya sekadar itu.
Menurut Saravanan, jika sebelum ini andainya ada isu-isu yang menimpa masyarakat India seumpama itu, parti pertama yang paling lantang bersuara adalah MIC.
Namun kini ramai pimpinan parti-parti lain semuanya diam seribu bahasa.
“Dulu kita mempunyai kuasa malah masyarakat India di negara ini juga yakin MIC adalah pembela dan suara mereka sehingga memastikan kemenangan kekal kepada kita satu ketika dulu. Sudah pasti kini rakyat khasnya komuniti India dapat nilai siapakah pejuang kebajikan mereka.
“Hari ini kita tengok insiden yang mana keluarga mangsa tanah jerlus di Masjid India diberikan hanya RM30,000? Ini langsung tidak memuaskan hati, adakah nilai nyawa itu sahaja? Tapi siapakah yang bersuara tentang perkara ini? Tiada.
“Jadi andainya perkara yang sama berlaku kepada rakyat kita sendiri, adakah nasib sama buat kita? Siapa yang akan bersuara? Jika perkara ini terjadi ketika MIC masih memegang kuasa, senarionya tidak seperti hari ini,” katanya kepada media hari ini.
Sambung Saravanan, insiden tanah jerlus sebenarnya adalah kecuaian pihak tertentu dan jumlah ‘sumbangan’ yang diterima keluarga mangsa tidak sepatutnya seperti mengaburi isu sebenar.
“MIC akan adakan perbincangan dengan pihak keluarga ini bagi tindakan susulan selepas ini, tidak guna kita cakap tapi keluarga mangsa tidak bersetuju,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif ketika memberitahu, wang tersebut diserahkan secara tunai kepada keluarga mangsa sehari selepas kerajaan mengambil keputusan untuk menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Pada 23 Ogos lalu, mangsa berusia 48 tahun yang berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India itu hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.
Kerajaan bagaimanapun mengambil keputusan menghentikan operasi SAR selepas bertungkus lumus selama sembilan hari bermula pada hari kejadian.
Keputusan untuk menghentikan operasi SAR dibuat atas beberapa faktor termasuk isu keselamatan membabitkan anggota terlibat selain faktor keselamatan semasa di lokasi susulan beberapa kejadian tanah jerlus susulan yang berlaku sejak akhir-akhir ini. -MalaysiaGazette