Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan menunjukkan pelaksanaan Intervensi Kurikulum di Blok E8, Kompleks E, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya mengurangkan kepadatan kurikulum sebanyak 50 peratus sejak Mac lalu dalam memudahkan guru untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Ketua Pengarahnya, Azman Adnan berkata, perkara itu dicapai setelah pihaknya melakukan pengemaskinian standard pembelajaran dan standard kandungan bagi topik-topik tertentu melibatkan mata pelajaran Sains dan Matematik.

“Melalui penyusunan penjajaran kurikulum ini, kita telah berjaya mengurangkan kepadatan kurikulum itu sebanyak 50 peratus.

“Selain memudahkan guru-guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran, anak-anak kita juga mudah memahami semua standard pembelajaran yang dikehendaki dalam kurikulum kita,” katanya pada sidang media khas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan KPM memperkenalkan empat langkah bagi menangani isu keciciran pembelajaran menerusi Intervensi Kurikulum Murid Tahun Satu.

Empat langkah berkenaan adalah Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan 2017) Edisi 3; Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi; Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa dan Penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3.

Menurut Azman, selari dengan pengurangan kepadatan itu, KPM juga melaksanakan langkah tersebut dengan bahan sokongan yang telah sediakan termasuk modul bimbingan (MOBIM) untuk keempat-empat mata pelajaran.

“Berdasarkan kepada penjajaran kurikulum sedia ada, disokong dengan MOBIM, ianya akan dapat membantu guru-guru kita untuk mempermudahkan proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata, pengurangan kepadatan itu dilakukan KPM susulan kebimbangan yang ditimbulkan ibu bapa mengenai aras kesukaran kurikulum pendidikan negara didakwa tidak signifikan dengan umur anak-anak.

“Saya ingin mengingatkan bahawa kurikulum, kita laksanakan langkah ini setelah melalui proses sebagai mana yang sewajarnya bila kita membangunkan kurikulum,” katanya.

Tambah beliau, antara pengemaskinian yang dilaksanakan KPM termasuk menggabungkan beberapa standard pembelajaran dan standard kandungan dalam kurikulum sedia ada.

“Bila kita gabungkan, ianya dapat mengurangkan kepadatan yang berlaku dalam kurikulum kita.

“Ada juga sesetengah standard pembelajaran dan standard kandungan ini kita bawa ke Tahun Dua.

“Apabila anak-anak kita sudah kompeten melalui kurikulum pada Tahun Satu, kita bawa ke Tahun Kedua, itu yang dimaksudkan kita mampu membuat pengurangan sebanyak 50 peratus,” katanya lagi. – MalaysiaGazette