Mas Imran (tengah) menyerahkan replika cek sumbangan Econsave sebanyak RM1.7 juta kepada Dr Kamal Nasharuddin (dua kiri) dalam program Hi Tea Education For All di Impiana Hotel, Senai, Kulai, hari ini

KULAI – Humanitarian Cara Malaysia (MyCARE) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain di negara ini merancang untuk membawa pelajar sekolah serta penuntut universiti di Gaza menyambung pelajaran di Malaysia.

Pengerusi MyCARE, Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, pihaknya dan beberapa NGO terbabit akan membuat pertemuan dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir kira-kira dua minggu lagi.

“Kita juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi membincangkan perkara ini. Sebagai permulaan kita akan bawa 100 pelajar terlebih dahulu.

“Ini melibatkan pelajar sekolah menengah yang berusia 16 dan 17 tahun kerana usia 16 tahun ke atas dibenarkan boleh ibu bapa mereka untuk keluar negara. Bawah 15 tahun tidak dibenarkan.

“Ini adalah usaha kita untuk membantu penduduk Palestin khususnya anak pelarian Gaza yang sudah tidak lagi dapat menyambung pelajaran selepas perang tercetus pada Oktober tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Hi Tea Education For All di Impiana Hotel, Senai, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Operasi MyCARE, Roha Hassan, Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani dan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam.

Dr Kamal berkata, usaha tersebut dilakukan kerana ketika ini terdapat kira-kira 620,000 pelajar rendah dan sekolah menengah di Gaza tidak dapat belajar sejak perang berlaku.

Begitu juga katanya, lebih 88,000 penuntut universiti di Gaza tidak dapat menyambung kuliah akibat perang.

Katanya, kos pelajaran pelajar Palestin itu akan disumbangkan pelbagai pihak termasuk menerusi kutipan derma rakyat Malaysia, NGO dan pihak universiti tempatan yang akan mengambil mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, MyCARE melaksanakan Kempen MyCARE Education Fund untuk bantuan pendidikan di negara konflik dan memerlukan yang dihimpit kemiskinan.

“Di negara-negara dilanda konflik peperangan seperti Gaza dan Syria telah melumpuhkan beberapa sektor termasuklah pendidikan.

“Menyedari bidang pendidikan amat penting walaupun di negara bergolak atau selepas dilanda konflik, usaha berterusan dilakukan untuk membiayai kos keperluan pendidikan bagi pelarian dalam negara atau yang sudah menjadi pelarian di luar negara,” katanya.

Pada tahun ini kata Dr Kamal Nasharuddin, pihaknya menyasarkan RM500,000 untuk kempen berkenaan selepas MyCARE memberikan bantuan di Malaysia, Filipina, Syria, Palestin dan negara-negara memerlukan.

Bagi orang ramai yang ingin menghulur bantuan berbuat demikian menerusi akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad iaitu Maybank Islamic Berhad 5515 7500 4299 dan hantar slip ke WhatsApp +6018-9677215 (Saadon); +6019-7342539 (Dr Zin) +6019-7458517 (Rozi).- MalaysiaGazette