Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris pada sidang media di IPK Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 OGOS 2024.

IPOH – Polis menunggu arahan daripada timbalan pendakwa raya (DPP) bagi meneruskan siasatan semula kes kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam, enam tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, sekiranya ada arahan berkenaan, pihaknya akan membuka semula kertas siasatan dan mengklasifikasikan kes tersebut termasuk berkemungkinan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kes ini telah dirujuk kepada DPP dan dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh. Dan saya difahamkan memorandum kes itu telah dihantar (oleh badan bukan kerajaan (NGO) kepada Bukit Aman).

“Dan kita akan lihat kembali kes itu untuk membuka kertas siasatan selepas mendapat arahan daripada DPP,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pada Jumaat.

Pada Khamis media melaporkan, 29 NGO diketuai Lawyers For Liberty (LFL) menyerahkan memorandum memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula siasatan kes kematian Soosaimanicckam, enam tahun lalu.

Peguam dari LFL, Zaid Malek menyerahkan memorandum itu pada jam 10.45 pagi kepada pegawai PDRM di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Pada Julai, Mahkamah Tinggi Ipoh bulan mengklasifikasikan kematian pegawai itu sewaktu menjalani latihan pegawai kadet di KD Sultan Idris, Lumut, pada 19 Mei 2018 sebagai kes homisid.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed, dilaporkan mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner pada 16 Jun tahun lalu yang memutuskan ‘keputusan terbuka’ berhubung inkues bagi menentukan punca kematian pegawai kadet berkenaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kematian kadet TLDM: 29 NGO desak heret pelaku ke muka pengadilan