Zaid Abd Malek bersama keluarga mendiang Soosaimanicckam menyerahkan memorandum mendesak KPN membuka kertas siasatan untuk kematian mangsa kepada pegawai PDRM di pekarangan ibu pejabat Bukit Aman pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 29 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai Lawyers For Liberty (LFL) hari ini menghantar memorandum ke Bukit Aman mendesak Ketua Polis Negara (KPN) menyiasat semula kes kematian Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J. Soosaimanicckam sewaktu menjalani latihan pegawai kadet di Lumut pada 19 Mei 2018.

Peguam LFL, Zaid Abd Malek yang ditemani ahli keluarga mendiang Soosaimanicckam berkata, tuntutan itu dikemukakan pukul 10.45 pagi kepada pegawai polis di Bukit Aman.

Katanya, pada 29 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh dalam rayuan jenayah telah memutuskan kematian mendiang berusia 27 tahun disebabkan oleh homisid iaitu telah dibunuh akibat tindakan langsung pegawai pengendali latihan TLDM.

“Rentetan keputusan itu keluarga mendiang membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah Petaling Jaya menuntut siasatan pembunuhan kepada polis susulan keputusan kehakiman oleh mahkamah tinggi tersebut.

“Malangnya, sehingga hari ini kami mendapati keluarga mendiang tidak dihubungi sejak laporan polis dibuat 1 Ogos lalu serta tidak dimaklumkan sama ada siasatan serta tindakan lanjut untuk laporan polis terbaharu itu dimulakan atau sebaliknya yang mana kita lihat seolah (ia) kegagalan polis mengambil serius perkara ini.

“Oleh demikian kami hari ini ambil langkah pertama menyerahkan memorandum yang disokong 29 NGO ditujukan kepada KPN agar memulakan siasatan kematian Soosaimanicckam di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh dan atau 304 kanun yang sama iaitu kesalahan dengan cuai menyebabkan kematian,” katanya apabila ditemui pemberita selepas penyerahan memorandum tersebut di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zaid mahu satu pasukan siasatan bebas dilantik PDRM untuk menjalankan siasatan tersebut secara serius dan telus serta menyeluruh.

Katanya, pihak keluarga mendiang terpaksa menjalani proses inkues agak lama iaitu lebih enam tahun akhirnya mendapat jawapan persoalan mereka iaitu kenapa anaknya boleh meninggal dunia secara tiba-tiba dalam tempoh seminggu selepas menyertai akademi latihan.

Selain itu, beliau juga mahu siasatan memberi pertimbangan sewajarnya kepada keputusan homisid yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh.

“Kita mahu PDRM melaporkan hasil perkembangan siasatan dikomunikasikan kepada pihak keluarga untuk memastikan ketelusan siasatan,” katanya lagi.

“Satu lagi perkra yang kami minta KPN bertindak kenapa sejak 2018 ada kegagalan buat siasatan dan kenapa tak tercetus soalan seorang yang sihat itu boleh meninggal dunia dalam tempoh seminggu dan kami mahu tahu siapa yang bertanggungjawab terhadap kematian mendiang,” ujarnya.

Dalam pada itu, abang mangsa yang dikenali sebagai Charles mahu PDRM membela dan memberikan keadilan atas kematian adiknya.

“Bayangkan saya yang menghantar dia ke pusat akademi Latihan TLDM itu pada Sabtu tetapi pada Sabtu berikutnya terima berita kematian adik saya.

“Kami sebenarnya mahukan keadilan dan bagaimana kami nak menghantar anak saya nanti untuk berkhidmat kepada negara menyertai TLDM jika tiada keyakinan, maka saya berharap polis akan membantu mendapatkan keadilan sewajarnya untuk kami sekeluarga yang menanti selama tujuh tahun,” tegasnya.-MalaysiaGazette