Foto IG Lisa Surihani.

PETALING JAYA – Pelakon, Datin Lisa Surihani mengakui dia gigih bersenam dan mengamalkan intermittent fasting (IF) agar mampu melakukan ibadah dengan sempurna selain mendapatkan berat badan ideal.

Lisa atau nama sebenar Lisa Surihani Mohamed, 38, menjelaskan, dia juga mahu kekal sihat supaya tidak menyusahkan anak-anak apabila berdepan hari tua kelak.

“Bila kita ada kekuatan, secara tidak langsung saya dapat jalankan ibadah dengan baik,” katanya menerusi video siaran langsung dalam TikTok miliknya.

Mengulas lanjut, pelakon filem Ombak Rindu itu bersyukur apabila ramai rakan wanita di gimnasium banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar selain mengingatkannya agar tidak lupa berzikir meskipun sedang beriadah.

“Saya bersyukur sebab di pusat gimnasium yang saya pergi ada ramai kawan baharu dan sangat memberikan sokongan kepada saya.

“Mereka juga selalu mengingatkan saya pada Allah seperti sambil bersenam kita sebenarnya boleh berzikir. Jadi saya sangat kagum dengan perkara itu tapi bergantung juga pada jenis senaman,” luahnya.

Lisa mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim, 51, pada 23 Februari 2012.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Yahaira Leanne, 9, Yusof Leonne, 7 dan Yunos Laith, 3 tahun. – MalaysiaGazette