Tertuduh berusia 28 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan merogol adik iparnya, minggu lalu.

MELAKA – Seorang penganggur lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan merogol adik iparnya, minggu lalu.

Tertuduh berusia 28 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah merogol seorang perempuan berusia 20 tahun yang juga merupakan adik iparnya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Jalan Dato Nawar, Kampung Air Tawar, Merlimau dalam daerah Jasin antara pukul 9 pagi hingga 9.30 pagi 1 Ogos 2024.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kejadian berlaku di bilik tidur mangsa yang masih bujang dan bekerja sebagai pendandan rambut ketika ahli keluarganya lain tiada di rumah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh beserta syarat tambahan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Shah Wira Abdul Halim bagaimanapun merayu jaminan yang rendah kerana anak guamnya sudah sembilan bulan tidak bekerja dan perlu menanggung bapa yang menjalani rawatan dialisis.

Selain itu, isteri anak guamnya sudi menjadi penjamin namun sekadar mampu menyediakan RM4,000 kerana kerana hanya bekerja sebagai kerani dengan pendapatan RM1,500 sebulan

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 10 September sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette