Pemain Selangor FC, Mohd Faisal Halim kembali beraksi buat kali pertama selepas kecederaan disimbah asid pada saingan Liga Super Malaysia 24/25, Selangor FC menentang Kelantan Darul Naim FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 10 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Topeng muka pelindung khas yang digunakan oleh Faisal Halim untuk melindungi wajahnya yang cedera direka bentuk khas hasil daripada kajian Universiti Malaya (UM) melalui BioApps Sdn Bhd dan nasihat dari Jabatan Pemulihan Kecederaan Sukan.

Faisal muncul kali pertama dengan bertopeng semasa ke perlawanan bola sepak separuh akhir kedua Piala FA menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman yang juga  pakar penyelidik biomekanik dan reka bentuk prostetik antara kumpulan penyelidik yang terlibat dalam penghasilan topeng muka tersebut.

“Penghasilan topeng muka khas ini adalah salah satu strategi utama Universiti Malaya iaitu memasyaratkan impak komuniti daripada kepakaran dan hasil penyelidikan UM,” katanya yang berpengalaman luas dalam bidang kejuruteraan.

Menurut pakar perubatan pemulihan kecederaan sukan, Fakulti Perubatan UM, Dr.
Ahmad Hazwan Ahmad Shushami berkata, pihaknya berpendapat Faisal memerlukan topeng muka khas setelah melakukan penelitian dan penilaian kondisi pemain kebangsaan itu.

“Faisal memerlukan topeng muka khas bagi melindungi parut dan kecederaan beliau untuk kembali beraksi di padang.

“Topeng muka khas tersebut dihasilkan oleh BioApps Sdn Bhd dalam masa seminggu setelah menerima rekomendasi dari pakar perubatan pemulihan kecederaan sukan,” tambahnya.

Pakar Prostetik & Ortotik, BioApps Sdn Bhd, Muhammad Hazim Kamaruzaman berkata, topeng muka tersebut diperbuat dari bahan karbon fibre yang lebih ringan dan nipis dapat membantu Faisal selesa untuk kembali beraksi di padang serta melindungi saraf dan lukanya yang masih belum pulih.

Topeng muka khas tersebut telah dihasilkan berdasarkan kondisi parut muka yang agak serius dan telah melalui beberapa peringkat pengukuran dan pengujian tahap keselesaan sebelum penghasilan peringkat akhir,” katanya.

“Teknologi 3D screening digunakan bagi mengenal pasti bentuk kepala dan muka, manakala, teknologi 3D printing digunakan bagi menghasilkan topeng tersebut, kata Mouaz Al Kouzbary, pelajar pascasiswazah kejuruteraan mechatronics, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya.

Faisal ketika ditemubual di Klinik Perubatan Sukan, Pusat Perubatan Universiti Malaya berkata, topeng muka khas tersebut membantu melindungi parut muka beliau semasa menjalani latihan dan perlawanan.

“Dengan topeng muka tersebut, saya rasa kembali normal dan selesa untuk beraksi di padang. Mungkin pada pandangan masyarakat, pemakaian topeng muka tersebut agak janggal tetapi saya memerlukannya sehingga luka dan parut muka saya kembali pulih.

“Kini, saya fokus kepada persediaan diri di tahap maksimum dan saya juga bersyukur dengan ujian kecerdasan yang saya lakukan pada hari ini,” katanya lagi.

BioApps Sdn Bhd merupakan syarikat spin-off Universiti Malaya, yang ditubuhkan di bawah Centre for Applied Biomechanics (CAB), Fakulti Kejuruteraan, pada 17 Mei 2012.

Pada Januari 2015, BioApps memulakan operasinya di Tingkat Bawah, Menara Selatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kini menyediakan perkhidmatan prostetik dan ortotik tunggal untuk PPUM. – MalaysiaGazette