KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM255.9 bilion pada Julai 2024 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM131.1 billion dan RM124.7 bilion.

Eksport bernilai RM131.1 bilion pada Julai 2024, meningkat sebanyak RM14.4 bilion (+12.3%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM5.2 bilion), Selangor (+RM2.3 bilion), Pulau Pinang (+RM1.9 bilion), Sarawak (+RM1.8 bilion), Kuala Lumpur (+RM1.3 bilion), Perak (+RM1.2 bilion), Terengganu (+RM1.0 bilion), Kedah (+RM457.7 juta), Negeri Sembilan (+RM105.2 juta), Melaka (+RM63.9 juta) dan Pahang (+RM59.0 juta).

Walau bagaimanapun, nilai eksport menurun di Labuan sebanyak RM1.1 bilion, Sabah (-RM150.4 juta), Perlis (-RM34.8 juta) dan Kelantan (-RM26.3 juta).

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 31.6 peratus, diikuti oleh Johor (21.4%), Selangor (17.6%), Sarawak (7.6%) dan Kuala Lumpur (4.3%).

Pada masa yang sama, import pada bulan Julai 2024 meningkat RM25.3 bilion (+25.4%) berbanding bulan yang sama pada 2023.

Peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM8.4 bilion), Johor (+RM5.6 bilion), Selangor (+RM5.4 bilion), Kedah (+RM2.3 bilion), Kuala Lumpur (+RM1.5 bilion), Melaka (+RM440.6 juta), Perak (+RM380.8 juta), Sarawak (+RM138.6 juta), Kelantan (+RM81.2 juta),  Negeri Sembilan (+RM64.8 juta), Perlis (+RM60.9 juta), Terengganu (+RM55.6 juta) dan Pahang (+RM26.7 juta).

Namun, nilai import jatuh di Sabah sebanyak RM43.7 juta dan Labuan (-RM36.8 juta).

Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 26.5 peratus, diikuti oleh Johor (22.7%), Pulau Pinang (22.3%), W.P. Kuala Lumpur (7.0%) dan Kedah (5.8%). – MalaysiaGazette