Abdul Rahman menyerahkan koleksi warkah-warkah kepulauan Melayu 1768-1794 kepada Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Kedah.

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) diberikan hak tunggal oleh School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London melalui Memorandum Perjanjian (Loan of Light Letters) untuk akses imej-imej digital Surat-surat Light.

USM dalam satu kenyataan berkata, pinjaman imej-imej digital bahan sejarah tersebut boleh dicapai oleh para penyelidik, sarjana dan orang awam untuk melakukan akses metadata deskriptif, transkripsi dan transliterasi secara dalam talian.

Katanya, kebenaran itu adalah yang pertama dibekalkan kepada institusi di luar SOAS hasil perjanjian yang ditandatangani pada September 2018 dengan memberikan akses melalui hak-hak yang dikawalnya untuk pengkatalogan dan pencarian transkripsi serta transliterasi.

“Surat-surat Francis Light yang telah didigitalkan itu menghasilkan 2,400 imej melalui projek Pendigitalan dan Dokumentasi Surat-surat Light.

“Melalui perjanjian yang termeterai, USM melalui Pusat Penyelidikan Dasar dan Perpustakaan Hamzah Sendut mendapat hak simpanan imej tersebut selama mana perjanjian tidak dilanggar oleh kedua-dua pihak dan akan diperbaharui setiap tahun,” kata kenyataan itu hari ini.

Tambahnya, Perpustakaan USM bertanggungjawab menyimpan dan memelihara koleksi digital berkenaan dengan memastikan ia dapat diakses melalui sebuah portal yang diwujudkan.

Koleksi Warkah-warkah Kepulauan Melayu 1768-1794 merupakan koleksi manuskrip Melayu terbesar di dunia yang mengandungi 1,200 pucuk surat tersimpan dalam 11 jilid.

Ia merangkumi surat-surat karangan atau penulisan dan nota-nota daripada Kesultanan Melayu lama, kerabat-kerabat diraja, pembesar-pembesar Melayu dan orang-orang kenamaan dari gugusan Kepulauan Melayu, rakan perniagaan, isteri-isteri pembesar Melayu, Francis Light serta beberapa peniaga Inggeris yang ditulis sepanjang tempoh 26 tahun dari 1768 sehingga 1794.

Surat-surat itu diklasifikasikan kepada surat yang dikirim kepada Light, surat yang dikirim kepada Scott, rakan niaga Light, nota, catatan, draf surat dan salinan yang dikirim oleh Light, surat-surat Raja-raja dan pembesar-pembesar, lain-lain dokumen seperti bil, resit, petisyen dan kontrak.

Koleksi surat itu mengandungi surat-surat dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Selangor, Perak, Terengganu, Kelantan, Borneo, Acheh, Asahan, Batu Bahara, Siak, Palembang, Pontianak dan lain-lain.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, hak eksklusif itu memberi peluang besar kepada penyelidik dalam bidang ilmu kemanusiaan bagi menjalankan kajian-kajian baharu tentang sejarah tanah air.

“Surat-surat Light amat berpotensi untuk dikaji daripada pelbagai bidang dan membantu penyelidikan terutamanya dalam bidang sejarah nusantara.

“Koleksi ini mengandungi lebih kurang 1,200 surat (2,400 imej) daripada 11 jilid dan ia mungkin merupakan koleksi terbesar (Manuskrip Melayu) di dunia yang boleh dimanfaatkan oleh para penyelidik di rantau ini,” katanya.-MalaysiaGazette