Penasihat Program Teater Cicit Wan Lebo, Datuk Mohd Nizar Zakaria ketika sesi sidang media pada Majlis Pelancaran Teater Muzikal Cicit Wan Lebo di Auditorium Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Negeri Perak, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 03 SEPTEMBER 2024.

IPOH – Desakan pembangkang ke atas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya bercuti daripada menjalankan tugas bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadap Timbalan Perdana Menteri itu selesai dilihat sebagai politik tidak matang.

Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, pembangkang seharusnya reda dan menerima hakikat bahawa mereka bukan lagi kerajaan untuk menyatakan perkara sedemikian.

“Pada saya itu bukan politik matang. Tapi sekarang ini pada saya, sudah dekat tiga tahun (Kerajaan Perpaduan dibentuk), kita hendak negara stabil.

“Kita hendak Kerajaan Perpaduan ini kuat kukuh untuk kita bina. Kalau hendak berpolitik tunggulah Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti, gasaklah apa benda pun, tapi jangan dalam tempoh ini,“ katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Sidang Media Teater Muzikal Cicit Wan Lebor di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Nizar berkata, pada PRU15 Barisan Nasional (BN) cuma memenangi 30 kerusi Parlimen namun kembali menjadi kerajaan dengan izin ALLAH SWT.

“Sudah menang banyak tapi tak nak jadi kerajaan, lepas itu menyalahkan orang. BN cuma dapat 30 (kerusi Parlimen) sahaja (pada PRU15).

“Dari segi logik akal, kira-kira matematiknya tak mungkin (jadi kerajaan), tapi ingat ALLAH SWT berfirman manusia merancang, ALLAH merancang, ALLAH sebaik-baik perancang.

“PRU15 sudah tamat, redalah. Saya kalah tetapi saya reda dan terus bekerja, berkhidmat dan berbakti,“ ujarnya.

Beliau berharap, polemik tersebut dihentikan kerana ia merugikan dan merosakkan perpaduan negara sebaliknya bersama-sama berusaha menstabilkan negara untuk menjadi teladan terbaik.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu diberikan cuti bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadap dirinya sehingga selesai.

Beliau yang mengalu-alukan sikap terbuka Ahmad Zahid untuk disiasat berhubung dakwaan terdapat unsur memperdaya Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika mengemukakan Akuan Berkanun (SD) bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan bagaimanapun merasakan tidak mungkin seseorang dapat disiasat sepenuhnya ketika masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette