Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya kebebasan bersuara disekat di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan adalah sesuatu perkara yang tidak benar.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana bekas Perdana Menteri itu masih boleh bersuara mengeluarkan kenyataan dan bebas bergerak menghadiri mana-mana acara.

“Kasihan Dr Mahathir, dia masih bebas bergerak, masih bebas untuk hadir, masih bebas untuk keluarkan kenyataan, jauh seperti langit dengan bumi zaman pentadbiran sekarang dengan zaman pentadbiran dia.

“Waktu itu, saya masih ingat akhbar ditutup, orang yang berdemonstrasi di jalan raya dipukul, ditangkap, ditendang, dipenjara,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Dalam catatan blog terbarunya, yang dibuat selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di bawah Akta Hasutan dan menjelang sambutan Merdeka, Dr Mahathir berkata, kemerdekaan bermaksud “bebas dari dikuasai oleh orang, bebas dari tekanan, bebas dari kezaliman kerajaan.”

Menyorot perjuangan menentang British untuk kebebasan, ahli politik berusia 99 tahun itu mendakwa rakyat Malaysia ketika ini masih tidak bebas.

“Tetapi hari ini rakyat sudah tidak bebas bersuara, tidak boleh bercakap berkenaan 3R (kaum, agama atau raja),” katanya sambil menambah orang ramai tidak ditahan ketika bercakap mengenai isu-isu ini pada era sebelum kemerdekaan.

“Tapi, sekarang pelbagai sekatan dikena. Sentuh 3R polis akan panggil dan dakwaan dibuat. Walhal 3R tidak melalui proses membuat undang-undang. Pernyataan oleh PM adalah undang-undang. Lulusan Dewan Rakyat tidak perlu,” katanya.

Dr Mahathir seterusnya membandingkan semasa era British rakyat bebas untuk mengkritik kerajaan British dan Malayan Union yang dicadangkan.

Dalam pada itu, Fahmi menggesa Dr Mahathir supaya mengimbau kembali sejarah pentadbirannya yang disifatkan sebagai kuku besi.

Katanya, Dr Mahathir perlu melihat bagaimana beliau memperlakukan sesuatu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi timbalannya sebelum ini.

Last time 26 years ago, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dilucutkan jawatan dan kemudian diheret sama ada ke mahkamah atau dipukul dalam tahanan,” ujarnya. – MalaysiaGazette