Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

BANTING – Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu menerima hakikat bahawa tiada lagi istilah ‘kerusi selamat’ dalam mana-mana pilihan raya di negara ini, apatah lagi untuk mendapatkan jumlah majoriti undi seperti yang diperolehi sebelum ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pimpinan dan jentera parti tidak boleh mengambil mudah apatah lagi sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

“UMNO akan cuba bekerja keras, dalam politik hari ini dalam Malaysia, tiada istilah kerusi selamat, dinamik politik dalam negara kita ini berubah-ubah.

“Walaupun dia ada majoriti besar, kecil atau sederhana, tiada siapa boleh jamin dia boleh menang balik majoriti undi sama,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, Johor.

Johari juga berkata, semua pihak tidak boleh mengambil mudah soal kemenangan dan majoriti undi yang diperolehi UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di kerusi DUN Mahkota sebelum ini.

“Tidak boleh mana-mana parti mengambil mudah dari segi soal kemenangan.

“Perkara paling penting parti akan menumpukan sepenuh perhatian untuk menumpukan kempen ini, ini adalah satu pilihan raya yang baharu,” katanya.

Ketika ditanya tentang calon BN, Johari berkata, setakat senarai pendek sudah diserahkan dan perkara itu akan diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam masa terdekat.

“Calon saya ingat Menteri Besar akan umum, mungkin minggu depan kot. Kerusi ini adalah kerusi BN iaitu UMNO.

“Ada dua tiga nama sudah hantar, biarkan Pengerusi BN Johor akan umumkan. Jadi kita sudah bersetuju bahawa UMNO akan bertanding semula kawasan itu.

“Kawasan ini (DUN Mahkota) dulu Wanita, Pengerusi BN akan buat keputusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette