Ira Kazar tenang di luar mahkamah.

KUALA LUMPUR – Bekas isteri pengarah dan pelakon Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar enggan memberikan sebarang komen berhubung penceraiannya dengan talak satu.

Ira atau Faghira Fatini Kazaruddin, 29, bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana semuanya sudah selesai.

“Tiada apa, alhamdulillah, selesai,” katanya ringkas kepada media walaupun diasak dengan soalan selepas prosiding pengesahan lafaz cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor di sini hari ini.

Ira kemudiannya meminta maaf kepada media dan berlalu pergi bersama peguam dan ahli keluarga.

“Minta maaf ya. Terima kasih,” katanya.

Sementara itu, Mahkamah Rendah Syariah itu mengesahkan Syamsul dan Ira  sah bercerai talak satu.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Muhammad Fadhil Abd. Razak yang mewakili Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, ketika ditemui selepas prosiding kes itu di hadapan Hakim Syarie Mohd. Faizal Habib.

Menurut peguam itu, mahkamah mendapati penceraian pasangan artis itu telah berlaku di luar mahkamah.

Syamsul dan Ira mendirikan rumah tangga pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.

Perkara itu disahkan oleh Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram pada Januari tahun lalu.

Syamsul juga sebelum ini pernah berkahwin dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 dan bercerai pada 14 Jun tahun lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5 tahun.