Empat ahli Geng Bala didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tiga pertuduhan berasingan pecah rumah dan rompakan berkumpulan

JOHOR BAHRU – Empat ahli Geng Bala didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan berasingan pecah rumah dan rompakan berkumpulan pada Ogos 2023 hingga bulan lalu.

Tertuduh G Balakrishnan, 33; S Prem Kumar, 38; Muhammad Ridzwan Dinesh, 38 dan P Ukenthiran, 33, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan di hadapan tiga hakim dan majistret berbeza.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsuddin, keempat-empat tertuduh secara bersama-sama, dengan niat curang melakukan pecah rumah di sebuah kediaman bagi maksud mencuri.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bistari, Taman Mutiara Rini di sini, pukul 4 pagi, pada 7 Ogost tahun lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Azrin. Adriana mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap seorang.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan RM3,000 jaminan bagi setiap tertuduh dengan 29 Oktober ditetapkan sebagai tarikh serahan dokumen.

Sementara di Mahkamah Majistret berasingan, di hadapan Majistret A Sharmini, Balakrishnan, Muhammad Ridzwan Dinesh dan Ukenthiran berdepan pertuduhan secara bersama-sama melakukan dengan niat curang melakukan pecah rumah di sebuah kediaman bagi maksud mencuri.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Indah, Taman Bukit Indah di sini pukul 2 pagi pada 28 Julai lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurain Syafiqeen Mohd Rozi.

Pihak pendakwaan mencadangkan RM10,000 setiap seorang, bagaimanapun selepas pertimbangan rayuan mahkamah menetapkan RM8,000 jaminan setiap seorang dan 14 Oktober ini ditetapkan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pertuduhan dibuat bawah Seksyen 457 kanun keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh didenda dan jika kesalahan itu ialah mencuri, maka tempoh penjara boleh dilanjutkan hingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan itu dilakukan kali kedua atau kemudian boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Di Mahkamah Sesyen pul di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, pemandu lori, Balakrishnan dan Prem Kumar turut berdepan pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan iaitu sebuah telefon bimbit jenama Samsung, dua buah buku bank berlainan milik seorang wanita dengan bersenjatakan sebilah pisau.

Kesalahan itu dilakukan secara bersama di Jalan Sasa, Taman Gaya di sini, pukul 7.30 pagi pada 6 Ogos tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad.

Pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM9,000 setiap seorang dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu lapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dibuat bawah seksyen 395 kanun keseksaan dan dibaca bersama seksyen 397 kanun keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan sebat.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here