Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Polis menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), di rumahnya dekat Kampung Neting di Pengkalan Kubor, Tumpat, Selasa lepas.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, lelaki berumur 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi oleh anggota Batalion 9 (PGA9) selepas hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek menyamar sebagai anggota “Ninja PGA” dan menakutkan orang kampung untuk tujuan pemerasan.

“Berdasarkan maklumat, suspek bergiat aktif di laluan ke pangkalan haram di Nibong, Simpangan dan Ular tanpa mengira masa serta menahan kereta-kereta yang disyaki membawa bahan api seludup.

“Susulan tangkapan itu juga, kita turut merampas sebuah motor jenis Yamaha di rumah terbabit dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil di rumah berlainan yang disyaki digunakan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Ros Azhan berkata, hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM15,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek dan hasil rampasan diserahkan ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here