Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bercakap pada media berkenaan Perasmian Muktamar Dewan Muslimat Pas ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2024

TEMERLOH – Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa berkahwin dengan bukan Melayu untuk mendapat undi adalah tida sah.

Menteri Besar Kedah itu juga berkata, sekiranya ingin berkahwin, maka perkahwinan itu mestilah berteraskan kepada Allah semata-mata.

“Kahwin kerana undi tidak sah.

“Mungkin pada pandangan orang sesetengah munasabah, kahwin lah kerana Allah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Muslimat Pas di kompleks Al-Makmur, Kerdau, hari ini.

Sanusi berkata demikian mengulas cadangan Pemuda Pas Selangor, Aubidullah Fahim Ibrahim supaya berkahwin dengan wanita bukan Melayu sebagai langkah untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu.

Bagaiamanapun, Sanusi berkata, cadangan tersebut boleh diteroka Pas bagi mendapatkan lebih undi namun sebarang keputusan akan dimuktamadkan oleh pimpinan parti.

“Kahwin dengan bukan Islam tidak boleh, kena jadi orang Islam dahulu. Kaum lain boleh. Boleh jadi salah satu cara, tidak masalah, boleh teroka,” katanya lagi.

Ditanya sama ada beliau bersedia sekiranya diangkat sebagai calon Perdana Menteri, Sanusi berkata, beliau tidak mengejar jawatan dan hala tuju dirinya dalam politik diletakkan di tangan kepimpinan Pas.

“Saya orang parti, tidak ada sasaran sebab parti yang tentukan kedudukan saya, saya tidak ada cita-cita peribadi. Bukan tak kejar, tidak ada dalam parti ini, saya orang parti.

“Tidak pernah terfikir nak jadi calon Perdana Menteri, calon PRU pun tidak pernah terfikir,” katanya lagi.  – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here