Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Polis akan melaksanakan penutupan laluan secara berperingkat di Selangor berikutan penganjuran kejohanan Perlumbaan Basikan Petronas Le Tour De Langkawi (LTdL) 2024.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, LTdL 2024 akan berlangsung pada 29 September sehingga 6 Oktober depan melibatkan laluan di kontinjen dan daerah Semenanjung Malaysia serta Sarawak.

Bagi kontinjen Selangor, terdapat laluan di tiga daerah yang terlibat dalam kejohanan itu iaitu Hulu Selangor, Ampang dan Kajang dengan membabitkan jarak keseluruhan 90 kilometer.

“Penutupan jalan dan lencongan akan dilaksanakan secara berperingkat untuk semua jenis kenderaan oleh pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik setiap IPD terlibat mengikut hari dan peringkat perlumbaan.

“Hal ini bagi melancarkan pergerakan lalu lintas dan keselamatan di lokasi laluan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hussein, perlumbaan peringkat ke-4 LTdL 2024 akan bermula di Dataran Pekan Hulu Selangor dan akan berakhir di Bentong, Pahang pada 2 Oktober depan.

Laluan yang akan terlibat dalam peringkat ini adalah Jalan Dato Muda Jaafar, Jalan Rasathurai, Jalan Mat Kilau, Jalan Merdeka, Jalan Syed Mansor, Jalan KL/Tanjung Malim, Jalan Ampang Pechah, Jalan Kuala Kubu/Fraser Hill dan Empangan Sungai Selangor.

“Perlumbaan peringkat ke-5 kejohanan pula akan berlangsung pada 3 Oktober jam 11 pagi dan pelepasan bermula di KLCC melalui laluan daerah Ampang dan Kajang di Kontinjen Selangor.

“Laluan yang terlibat penutupan berperingkat untuk peringkat ke-5 perlumbaan dari JLCC ialah Jalan Ampang, Jalan Taman Putra, Jalan Hulu Langat, Jalan Bukit Ampang Menara Tinjau, Jalan Sungai Tekali, Jalan Bukit Hantu, Jalan Sungai Lalang, Jalan Semenyih, Jalan Tasik Kesuma dan Jalan Beranang.

“Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan agar mengelak dari menggunakan jalan-jalan terlibat dalam penutupan pada masa dan waktu yangng ditetapkan bagi penutupan tersebut dan merancang awal perjalanan masing-masing,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here