Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim mewakili Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin menerima anugerah tersebut bagi pihak Dr Massila.

MELAKA – Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Professor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin terus mengukir kecemerlangan apabila menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah bukan sahaja di peringkat nasional malahan antarabangsa.

Terbaharu, beliau dianugerahkan World Distinguished Women Leader Lifetime Achievement Award dalam World Women Economic & Business Summit (WWEBS) yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UTeM, anugerah itu telah berjaya menyerlahkan kredibiliti beliau sebagai seorang kepimpinan wanita berkaliber dan kecemerlangan tinggi.

“Kriteria pemilihan anugerah ini merangkumi keunggulan kepimpinan, komitmen terhadap kemajuan dan kelestarian wanita serta sumbangan beliau kepada masyarakat melalui Program CSR.

“Secara umumnya, beliau telah mempamerkan kualiti kepimpinan dinamik terbaik sepanjang karier beliau sebagai tunggak kepimpinan utama di universiti TVET terbaik di Malaysia ini,” katanya.

Kecemerlangan itu secara tidak langsung telah menggerakkan pemerkasaan TVET dalam kalangan wanita dengan menjayakan program JELITA (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement). 

Pengiktirafan ini telah melayakkan beliau menerima piala serta sijil anugerah berprestij ini dan mewakili beliau di majlis ini adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim menerima anugerah tersebut bagi pihaknya.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur WWEBS 2024, Datuk Halimah Mohd Said dan majlis ini telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Nancy Shukri. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here