Mustapha Sakmud (dua dari kanan) merasmikan pembukaan Kolej London School of Business and Finance (LSBF) di Kuala Lumpur, di sini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited meneruskan bantuan kepada pelajar daripada keluarga B40 melalui Program Pembangunan Siswa Sulung 2.0 (SULUNG 2.0) dengan pengecualian yuran pengajian di universiti awam (UA).

Program SULUNG 2.0 adalah pengecualian yuran pengajian diberikan kepada individu pertama dalam keluarga B40 atau keluarga kurang mampu yang berjaya menjejakkan kaki mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di UA.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, masih ramai pelajar cemerlang mempunyai masalah kewangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

“Banyak sebenarnya kaedah bantuan untuk golongan kurang berkemampuan ini seperti pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), MARA (Majlis Amanah Rakyat) serta yayasan negeri yang memberi biasiswa atau pinjaman.

“Bagi B40 atau yang tersenarai dalam (sistem) eKasih, jika anak pertama berjaya masuk universiti, mereka tidak perlu membayar yuran sepanjang pengajian,” katanya dalam kenyataan selepas majlis perasmian dan pembukaan Kolej London School of Business and Finance (LSBF), di sini.

Kolej LSBF berpangkalan di United Kingdom (UK) sudah mendidik 38,000 pelajar di seluruh dunia dengan menawarkan pelbagai jurusan profesional, perniagaan dan kewangan kepada individu daripada pelbagai latar belakang.

Dalam pada itu, Mustapha sekali lagi mengingatkan pelajar dan keluarga yang kurang berkemampuan supaya tidak perlu risau mengenai bayaran yuran pendaftaran kemasukan ke UA.

“Jika ada masalah untuk membayar yuran pendaftaran, datang sahaja ke universiti pilihan masing-masing. KPT sudah memberikan arahan supaya pihak universiti membenarkan mereka mendaftar dahulu.

“Jangan risau jika ada masalah kewangan, daftar sahaja dulu anak-anak tanpa membayar yuran kemasukan (pendaftaran). Saya difahamkan ada pelajar yang akan mula mendaftar di universiti hujung minggu ini,” katanya.

Sementara itu, Mustapha berkata, KPT mengalu-alukan pembukaan kolej pertama LSBF di negara ini selari dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan global.

“Dengan adanya institusi dari luar negara seperti LSBF, ia secara tidak langsung membuka ruang kepada generasi muda untuk belajar tanpa perlu ke UK.

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada LSBF atas pemberian biasiswa bernilai RM5 juta untuk golongan B40 di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Saya harap pelajar seluruh negara ambil peluang untuk mendaftar di kolej ini,” katanya.

Difahamkan, biasiswa LSBF akan memanfaatkan lebih 200 pelajar peringkat diploma yang kurang berkemampuan dengan pengambilan pertama bakal dibuka Oktober depan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast