Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bergambar kenangan bersama masyarakat Orang Asli ketika hadir pada Majlis Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh, Kluang. Foto SADIQ SANI, 26 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, semakan Akta Orang Asli 1954 yang sedang berjalan ketika ini akan tetap mempertahankan kawasan rayau untuk kumpulan masyarakat tersebut.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan menghormati keperluan orang asli terhadap kawasan rayau dan memberi jaminan perkara itu dilindungi menerusi semakan akta tersebut.

Bagaimanapun, beliau mengakui wujud masalah berhubung isu kawasan rayau itu sebelum ini khususnya melibatkan kawasan yang bertindih dengan tanah kerajaan negeri.

“Kita hormati soal tanah ini di bawah kuasa kerajaan negeri, tetapi kerajaan negeri juga kena faham keperluan orang asli terhadap kawasan rayau ini dan ia akan dipertahankan menerusi rundingan terperinci.

“Ini juga menjawab kepada tuduhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang mendakwa kerajaan tidak mempertahankan kawasan rayau orang asli ini, (sedangkan) ini juga sebab mengapa Akta Orang Asli ini dikaji semula.

“Akta ini serta dasar pembangunan orang asli apabila siap nanti, maka saya yakin kehidupan orang asli akan terus bertambah baik,” katanya.

Beliau berucap pada Program Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Tanah Runtuh, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berucap pada Majlis Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh, Kluang. Foto SADIQ SANI, 26 SEPTEMBER 2024

Perkampungan Orang Asli Tanah Runtuh itu merupakan satu-satunya kampung orang asli yang terletak di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang memiliki seramai 215 penduduk daripada 60 buah keluarga.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau juga telah menerima kertas kerja daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu reka bentuk rumah-rumah orang asli dibina bersesuaian dengan cita rasa serta mengikut kebudayaan dan latar belakang kelompok masyarakat berkenaan.

“PM mahukan supaya rumah-rumah baharu orang asli mesti ikut reka bentuk yang sesuai dengan cita rasa mereka.

“Jadi, kita akan memanggil Tok-Tok Batin serta penghulu kampung dari seluruh negara untuk menjelaskan mengenai perkara ini dengan lebih terperinci,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bergambar kenangan bersama masyarakat Orang Asli ketika hadir pada Majlis Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh, Kluang. Foto SADIQ SANI, 26 SEPTEMBER 2024

Sementara itu, beliau turut mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membesarkan jalan masuk ke Kampung Tanah Runtuh di sini, supaya dapat dilalui dengan selamat oleh dua kenderaan pada satu-satu masa.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid turut berterima kasih kepada masyarakat Orang Asli kerana setia dengan kerajaan dan Barisan Nasional (BN) serta tidak pernah terhasut dengan pembohongan pembangkang. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here