SPRM hakim
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan laporan berita tidak tepat serta tidak berkredibiliti yang disiarkan di sebuah portal berita tempatan dan antarabangsa terhadap suruhanjaya itu.

Menerusi kenyataan, agensi penguatkuasa undang-undang itu menafikan dakwaan berita berkenaan apabila menyatakan, SPRM telah menerima arahan daripada pihak tertentu agar tidak melakukan siasatan terhadap seseorang membabitkan pembelian saham sebuah syarikat.

“Untuk makluman, setiap tindakan penguatkuasaan dijalankan oleh suruhanjaya ini adalah ‘without fear or favour’ (tanpa rasa takut atau pilih kasih), tanpa ada campur tangan mana-mana pihak, adil tanpa prasangka dalam semua keadaan berteraskan prinsip kedaulatan serta keluhuran undang-undang.

“SPRM yakin perkara tersebut merupakan tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab yang sengaja dilemparkan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap suruhanjaya ini.

“Ditegaskan bahawa SPRM tidak membuka kertas siasatan sewenang-wenangnya tanpa bukti dan fakta.

“Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas,” katanya.

Menurut SPRM, suruhanjaya itu juga tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes-kes rasuah dan penyelewengan yang sedang giat disiasat ketika ini dengan pelbagai tohmahan yang sengaja direka-reka.

Sehubungan itu, SPRM berharap orang ramai tidak terpedaya dengan tohmahan mana-mana pihak yang cuba mengaitkan suruhanjaya tersebut bagi menyerang kepentingan pihak-pihak tertentu.

SPRM katanya, turut berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu tersebut kerana isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa seharusnya tidak boleh dikompromi. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here