KUALA LUMPUR – Projek Waterfuel yang dicipta oleh Ibuyati dan grupnya berbeza dengan sistem sel hidrogen.
Ramai yang salah anggap mengatakan sel hidrogen adalah menggunakan hidrogen untuk menghidupkan enjin.
“Projek Waterfuel menggunakan air untuk menghasilkan hidrogen tetapi sel hidrogen menggunakan hidrogen untuk menghasilkan elektrik.
“Hidrogen dari Waterfuel tidak disimpan tetapi terus disalurkan kedalam enjin. Jika tidak digunakan tidak ada hidrogen yang dihasilkan. Hidrogen dihasilkan ketika diperlukan sahaja,” kata Ibuyati atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias.
Menurut beliau, konsep itu dikenali sebagai supply on demand atau hydrogen on demand.
Oleh kerana gas hidrogen tidak disimpan itu menambahkan ciri keselamatan kerana hidrogen adalah unsur kedua yang paling mudah meletup.
“Bom hidrogen adalah antara yang paling ditakuti di seluruh dunia,” katanya.
Kegagalan pembuat kereta terkenal berasaskan air antaranya adalah kerana mereka menyimpan hidrogen untuk menghidupkan enjin.
“Di situlah terletaknya rahsia Waterfuel ini. Sedikit sahaja diperlukan sudah cukup untuk meletup dan menyempurnakan pembakaran sempurna dalam enjin.
“Hasil sampingannya ialah air yang boleh dilihat keluar melalui ekzos dan bukan karbon atau asap hitam. Air ini boleh dimasukkan semula ke dalam Waterfuel.
“Berbeza dengan sel hidrogen, hidrogen sudah tentu sentiasa ada dalam bekasnya untuk tindakbalas kimia bagi menghasilkan elektrik. Sebab itulah sel hidrogen dipanggil juga sebagai bateri generasi baru, atau Fuel Cell,” katanya yang juga seorang wartawan itu kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.
Ringkasnya, Waterfuel ciptaan mereka bukan bateri tetapi sel hidrogen adalah bateri.
Waterfuel yang dicipta oleh Ibuyati dan grupnya juga hanya menggunakan tenaga elektrik terbuang pada sesebuah kenderaan sekali lagi bercanggah dengan teori dan kefahaman ramai yang mengatakan ia mustahil untuk menggunakan air menggantikan minyak kerana memerlukan sejumlah tenaga elektrik yang tinggi.
Ibuyati menjelaskan, bekalan elektrik kenderaan dijana oleh dinamo yang berputar mengikut putaran enjin kereta yang dipanggil alternator.
“Proses ini automatik dan sepanjang masa enjin dihidupkan.
“Bekalan elektrik dari alternator inilah yang digunakan untuk mengecas bateri dan lain-lain keperluan kereta seperti lampu, hon, signal, sistem kawalan komputer, elektronik dan sebagainya,” katanya lagi.
Dalam ukuran ampere, arus elektrik yang digunakan, kebanyakan alternator kereta mengeluarkan begitu banyak elektrik misalnya sehingga 80 ampere malah ada yang 150 ampere sedangkan keperluan tidak sampai tiga ampere sahaja bagi sebiji Waterfuel.
“Waterfuel tidak pun menggunakan elektrik yang banyak. Bergantung kepada talaan pemasangan dan banyak mana hidrogen yang hendak dihasilkan. Boleh sehingga 5A, 7A, 10A. Lampu kereta sahaja pun ada yang sehingga 15A, 25A.
“Seperti yang kita dapat lihat pada bekas minuman sejuk berais, air terbentuk di luar gelas daripada hidrogen dan oksigen yang sedia ada dalam udara tanpa sebarang tenaga.
“Maka secara logiknya, tak perlukan tenaga juga untuk pisahkannya kembali kepada hidrogen dan oksigen.
“Kami dapat lakukannya dengan bateri 3V dengan sekecil 1A pun sudah amat jauh membanggakan.
Oleh itu terdapat banyak lebihan arus elektrik terbuang begitu sahaja ketika enjin hidup. Lebihan elektrik inilah yang digunakan oleh Waterfuel.
“Hidrogen dan oksigen dalam bentuk gas ini kemudiannya disalurkan ke dalam enjin. Tidak ada sebarang tambahan tenaga elektrik diperlukan.
“Jika menggunakan air sepenuhnya, bekalan elektrik daripada bateri kereta digunakan untuk menghidupkan enjin.
“Jika hibrid, enjin mula dihidupkan menggunakan minyak seperti biasa. Namun pada masa yang sama, hidrogen daripada Waterfuel juga boleh digunakan menggunakan elektrik daripada bateri,” jelas Ibuyati.
Apabila air menggantikan minyak fosil dan menghidupkan enjin, maka banyaklah lagi manafaat yang boleh diperoleh selain untuk kenderaan.
Pendek kata, katanya, apa-apa sahaja yang menggunakan tenaga elektrik boleh menggunakan Waterfuel.
Sebab itulah seluruh dunia sekarang menerima bahawa hidrogen adalah masa depan, katanya.
Sebelum itu, Ibuyati bersama pengkaji bebas, Hamid Yeop Zainuddin mencadangkan kepada kerajaan menggunakan projek Waterfuel mereka sebagai bahan api menggantikan petrol untuk kereta nasional ketiga.- MalaysiaGazette
Ibuyati buktikan pakar salah, air boleh jadi bahan api
Mustahil kereta pakai air boleh dikomersilkan
Ibarat beri ‘minyak percuma’ jika guna Waterfuel
EKSKLUSIF: Kereta nasional ketiga perlu guna tenaga air