KOTA TINGGI – Empat lelaki dan seorang wanita tempatan diberkas selepas melakukan dua samun menggunakan parang dan tukul besi hingga mencederakan dua warga asing di dua lokasi di daerah ini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, penangkapan lima suspek itu dibuat susulan dua laporan polis berkaitan kejadian samun yang diterima Balai Polis Bayu Damai, di sini.
“Anggota dari Balai Polis Bayu Damai menerima laporan polis daripada mangsa antara pukul 10.05 pagi hingga 10.40 pagi semalam.
“Mangsa kejadian terdiri daripada dua lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an di Teluk Ramunia, Pengerang dan seorang wanita tempatan berumur sekitar 50-an di Kampung Gambut Pungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi berjaya menangkap lima suspek berumur antara 20 an hingga 40 an.
Beliau memberitahu, mereka diberkas di dua lokasi berasingan di Pasir Gudang dan Johor Bahru pada hari yang sama pukul 7 malam.
Dalam serbuan itu katanya, polis juga berjaya merampas semula barangan yang disamun termasuk rantai tangan emas dan telefon bimbit, serta senjata yang digunakan dalam kejadian seperti parang dan pakaian suspek.
“Dua kes samun yang membabitkan kumpulan sama tersebut berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya.
Menurut Yusof, hasil ujian air kencing mendapati kesemua saspek positif dadah jenis methamphetamine.
Kesemua suspek juga mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah lampau, katanya.
“Mereka kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan,” tambahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette
















