Naib Presiden MCA, Chee Mei Fun bercakap kepada media selepas selesai Majlis Pelancaran Manifesto Calon MCA di Bilik Operasi MCA Balakong Cheras, Selangor. foto IQBAL BASRI, 19 OGOS 2018

SERI KEMBANGAN – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng didesak agar menumpukan tugasnya dalam kabinet bagi memulihkan ekonomi negara daripada membuat dakwaan terhadap MCA.

Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP yang mendakwa penubuhan MCA dilihat mahu memecah-belahkan kaum sengaja dibuat kerana mahu memesongkan isu semasa.

Beliau berkata, sepatutnya Guan Eng tidak perlu membuat dakwaan melulu terhadap MCA sebaliknya memberi fokus terhadap usaha membaik pulih ekonomi negara.

“Sejak MCA ditubuhkan pada tahun 1949, prinsip dan ideologi untuk satu parti Cina tetapi kita selama ini juga memain peranan menjaga semua dan bekerjasama dengan semua kaum dengan baik.

“Saya beri nasihat atau menyeru Guan Eng supaya lebih tumpu kepada peranan beliau sebagai Ahli Parlimen dan juga menteri memandangkan kadar mata wang ringgit merosot kepada RM4.10 (berbanding A$S1).

“Dengan kadar matawang sebegitu, walaupun mereka (kerajaan) mansuh GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), harga barang di pasaran Malaysia masih meningkat,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran manifesto di Bilik Gerakan MCA Balakong hari ini.

Mei Fun merujuk kepada kenyataan Guan Eng bahawa tindakan MCA bertanding di atas logo parti sendiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dilihat hanya akan memecah belahkan rakyat.

Malah katanya, MCA hanya mewakili satu kaum sahaja, berbanding Pakatan Harapan (PH) yang mewakili semua kaum. -MalaysiaGazette