PETALING JAYA – Calon Pakatan Harapan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia berikrar untuk tidak berkompromi dengan ceti haram, operasi mesin judi dan rumah urus tanpa lesen di zon itu. 

Halimey Abu Bakar berkata, isu itu perlu diperangi secara konsisten kerana ia termasuk dalam kategori perniagaan haram yang boleh menjejaskan institusi kekeluargan serta komuniti setempat. 

“Saya bersedia membela nasib penjaja, pengusaha serta usahawan kecil. Saya tidak akan bertolak ansur dengan kegiatan haram seperti ceti haram, operasi mesin judi dan rumah urut tanpa lesen. Saya bertegas untuk memerangi gejala ini kerana ia adalah perniagaan haram dan terlalu banyak mendatangkan mudarat,” katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan hari ini. 

Beliau mahu menggunakan pengalaman sebagai Ahli Majlis  Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) lebih kurang 10 tahun untuk membanteras aktiviti itu agar DUN Seri Setia dapat terhindar daripada aktiviti haram. 

Sebelum itu Halimey, 46, juga memberi jaminan untuk membela nasib peniaga kecil melalui perniagaan atas talian.

“Keutamaan saya semasa menjadi ahli majlis adalan berusaha menaikkan taraf hidup gologan peniaga kecil.

“Selaras dengan perkembangan teknologi terkini, saya akan berusaha merangka pelbagai program bagi mendedahkan peniaga kecil di kawasan ini kepada penggunaan teknologi pemasaran berasaskan Internet ,” katanya lagi. -MalaysiaGazett