Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Parti Islam SeMalaysia (Pas) mendesak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjelaskan dakwaan lebih 4,000 Projek Mesra Rakyat yang telah diluluskan bagi 2018 telah dimansuhkan.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, sehingga Julai 2018, 4,000 projek terbabit merangkumi setiap Parlimen di seluruh negara dengan anggaran nilai berjumlah lebih RM100 juta.

“Negeri Sembilan sahaja, projek terlibat berjumlah lebih 500 buah projek. Johor pula mencatatkan paling banyak iaitu lebih 800 buah projek, manakala di Kedah pula sebanyak lebih 500 buah projek.

“Kebanyakan projek berkenaan adalah projek di luar kawasan bandar dan ia adalah projek keperluan masyarakat setempat seperti masjid, dewan dan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nasrudin mengulas kenyataan Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF Malaysia), Tukiman Radion pada 18 September lalu mendakwa tuntutan sebanyak RM8 juta bagi dua projek yang sudah siap masih belum dibayar oleh Kerajaan Persekutuan PH.

Tukiman mendakwa, jika isu itu tidak ditangani, dikhuatiri sehingga 400 kontraktor kelas F Bumiputera akan terjejas.

Nasrudin juga menuntut kerajaan khususnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Kementerian Kewangan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk tampil memberikan penjelasan berhubung isu ini.

“Perkara ini telah berlarutan terlalu lama sehingga menyebabkan pihak kontraktor yang telah menyiapkan kerja-kerja mereka tidak mendapat pembayaran yang sepatutnya,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan