KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya hari ini memohon maaf kerana mengeluarkan perkataan yang telah disalahertikan oleh media.

Baru Bian berkata, disebabkan kesilapan itu kenyataan yang dibuat di Parlimen berhubung penghapusan tol dianggap angkuh.

“Saya sedar kenyataan saya di Parlimen semalam telah membuat berita utama dan dianggap sombong. Ribuan kemaafan jika dilihat sedemikian. Tiada niat. Itu salah saya menggunakan kata ‘terpulang’. (I am aware my statement in Parliament yesterday has made headlines and deemed arrogant. Thousand apologies if perceived as such. No intention. It was my wrong used of words ‘terpulang’.),” kata beliau menerusi Twitternya.

Menurut beliau, apa yang dimaksudkan ialah ‘Rakyat berhak mengharap tol dihapuskan tetapi keadaan kewangan tidak mengizinkan ..’

Beliau mengulas laporan sebuah media yang melaporkan kenyataan Baru yang menyatakan terpulang kepada rakyat untuk bermimpi melihat negara ini memiliki lebuh raya tanpa tol, namun janji untuk memansuhkan tol sedia ada memang sukar dilaksanakan.

Beliau menambah, walaupun jelas dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) menyatakan mengenai pemansuhan tol seandainya mereka berjaya memerintah, namun keadaan fiskal yang meruncing tidak membenarkan perkara itu dilaksanakan buat masa kini.

“Saya katakan sekali lagi, dasar kerajaan (PH) ini jelas, dan kita tak akan hapuskan tol sampai kewangan negara pulih ke sampai satu tahap sihat,” kata Baru yang menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) pada sesi Dewan Rakyat semalam. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan