Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa. foto AFIQ RAZALI, 08 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pihak yang tidak bertanggungjawab menularkan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang akan dilakukan Malaysia di laman sosial sengaja mahu menimbulkan kebimbangan dan kebencian antara kaum dan agama dalam negara.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa mengajak pihak-pihak yang tidak faham tentang perkara tersebut namun membuat kenyataan secara terbuka tanpa usul periksa berjumpa dengannya bagi mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut.

Pelawan tersebut membabitkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan.

“Saya ini untuk menegaskan komitmen kita untuk buat ratifikasi itu… Apa yang telah ditularkan secara tidak bertanggungjawab itu satu fitnah yang boleh timbulkan masalah perkauman.

“Jika salah faham ini ditularkan secara berterusan amat berbahaya kerana ia melibatkan perpaduan kaum dan agama dan menjadi isu besar, ini yang saya bimbang.

“Sila datang, saya terbuka memberitahu mereka apa realiti sebenarnya supaya tidak menjadi buah mulut dan akhirnya tular dan menimbulkan kebencian dalam negara ini,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Pas mengugut untuk mengadakan Himpunan Bantah Pengiktirafan Hak Asasi Manusia Acuan Barat dalam tempoh terdekat bagi membantah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu meratifikasikan ICERD.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, pelaksanaan perjanjian yang dikatakan selaras dengan manifesto parti itu dan mengakibatkan pelbagai ancaman khususnya melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

Selain Pemuda UMNO yang membantah, peguam Lukman Sheriff turut membantah dengan mewujudkan petisyen bantahan ICERD pada laman sosial.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar dalam masa yang sama menegaskan bahawa ratifikasi ICERD akan dibuat tanpa menjejaskan Perlembagaan Persekutuan dalam apa juga bentuk undang-undang yang diamalkan oleh Malaysia.

“Saya bertanggungjawab untuk menjelaskan bahawa semua perjanjian yang melibatkan tentang ratifikasi ICERD yang Malaysia berbaki beberapa lagi perjanjian yang belum diratifikasi tidak akan memberi kesan kepada undang-undang dan apa yang termaktub dalam pelembagaan Persekutuan.

“Ini bermakna jikalau kita menandatangani atau melakukan ratifikasi ICERD ia tidak akan mengubah apa yang sudah sedia ada diamalkan kecuali apa-apa undang-undang yang berkaitan mesti dibawa ke Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan