Liew Chin Tong
Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menjalankan satu siasatan bagi mengenalpasti sama ada atur gerak tentera dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Arab Saudi mematuhi prosedur sedia ada.

Siasatan itu susulan pendedahan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong yang mendakwa pembabitan ATM dalam Ops Yaman pada tahun 2015 tidak mendapat kelulusan Kabinet.

“Seperti jawapan saya dalam sesi penggulungan Belanjawan bagi peringkat jawatankuasa Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat petang tadi, satu siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti sama ada atur gerak trup (tentera) dan aset ATM ke Arab Saudi dalam Ops Yaman 2 mematuhi prosedur kerajaan.

“Pengumuman ini dibuat bagi pihak Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad bin Sabu dan juga Kementerian Pertahanan.

“Menteri Pertahanan dan kementerian telah memutuskan bahawa siasatan ini akan dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendakwa Ops Yaman 2 pada tahun 2015 mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN)

Kenyataan itu dibuat oleh bekas Menteri Pertahanan itu selepas Chin Tong mendedahkan Ops Yaman 2 diteruskan meskipun tidak mendapat persetujuan kabinet.

Chin Tong dalam kenyataan di Dewan Rakyat sebelum ini mendedahkan 42 anggota tentera ditugaskan di Riyadh, Arab Saudi pada 6 April 2015 untuk Ops Yaman yang ketika itu sedang berada dalam peperangan. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan