Reaksi Menteri Kewangan, Lim Guang Eng ketika sesi sidang media di Menara MATRADE, Kuala Lumpur. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 22 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR- “Memang sudah menjadi kepakaran Datuk Seri Najib untuk mereka-reka cerita,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika ditanya mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri itu berhubung kutipan cukai 2018.

Najib dan beberapa pemimpin Barisan Nasional yang lain mendakwa peningkatan kutipan cukai sebanyak RM13 bilion pada tahun lepas adalah hasil usaha kerajaan terdahulu dan bukannya Pakatan Harapan.

“Kutipan cukai dibuat berdasarkan tahun semasa iaitu cukai 2018 untuk tahun 2018.

“Jadi apabila mereka cakap peningkatan kutipan cukai tersebut adalah hasil usaha BN pada 2017, mereka adalah menipu,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Guan Eng mengakui peningkatan kutipan cukai pada 2018 sebahagian besarnya disumbangkan oleh hasil petroleum namun perolehan lain-lain turut menyumbang 40 peratus peningkatan.

Katanya, jika tanpa sumbangan petroleum sekali pun, kerajaan masih merekodkan pertambahan kutipan cukai 2018 sebanyak RM5.4 bilion daripada sektor lain.

“Saya sudah malas mahu melayan Najib.

“Sudah menjadi tabiat dia menipu dan menyalahkan orang lain,” katanya lagi.

Terdahulu, Guan Eng berkata, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia akan bekerjasana dengan Kementerian Kewangan untuk mengadakan sambutan Tahun Baharu Cina pada 6 Februari ini.- MalaysiaGazette