Laporan polis mengenai Jalan berlubang yang terbentuk di MRR2 diterima semalam.Ihsan IPD Ampang

KUALA LUMPUR – Lubang besar berukuran kira-kira satu meter di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Hulu Kelang menghala ke Ampang di sini yang telah menjadi kebimbangan pengguna jalan raya selesai dibaik pulih sepenuhnya hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dimaklumkan tentang kejadian jalan berlubang itu pukul 8 malam Selasa lalu.

“Bertindak atas laporan itu, beberapa anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Ampang Jaya telah bergegas ke lokasi dan membuat seliaan lanjut serta mengawal aliran trafik di sepanjang lorong tersebut.

“Pada masa yang sama, kon-kon keselamatan juga telah diletakkan di tempat lubang tersebut bagi menghalang sebarang insiden yang tidak diingini berlaku semasa aliran kenderaan di laluan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jalan berlubang kira-kira satu meter yang terbentuk di jalan MRR2 berhampiran Ampang berjaya dibaik pulih kontraktor JKR dengan kerjasama JSPT IPD Ampang awal pagi tadi.Ihsan IPD Ampang

Tambah Mohd Azam, sebagai tindakan penyelesaian pada 7 pagi tadi, kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor telah  menjalankan kerja-kerja membaiki jalan berlubang itu.

Katanya lagi, sebagai memastikan kerja membaiki jalan berlubang itu lancar tanpa gangguan, laluan lorong tengah MRR2 di lokasi berkenaan telah ditutup sementara.

“Kerja membaiki lubang jalan telah berjaya diselesaikan sepenuhnya sekitar pukul 3 petang hari ini dan aliran trafik kembali bergerak lancar.

“Selain itu, setakat ini tiada sebarang laporan yang diterima oleh pihak BSPT Ampang Jaya mengenai kemalangan melibatkan lubang tersebut,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette