nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kakitangan syarikat penerbangan, Malindo Air, yang terlibat menemuduga bagi jawatan anak-anak kapal mesti memohon maaf jika dakwaan calon-calon diminta membuka baju dalam benar berlaku.

Ini kerana, Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) berkata, tindakan itu adalah satu bentuk gangguan seksual dan ia melampau.

“Jika dakwaan ini betul, maka mereka yang terlibat boleh memfailkan aduan kepada pihak berkuasa,” kata Setiausaha Agung NUFAM, Mohd Akram Osman dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tentang dakwaan bahawa calon-calon yang datang untuk temuduga Malindo Air telah diminta membuka baju dalam ketika menjalani salah satu prosedur temuduga tersebut baru-baru ini.

Bagaimanapun, NUFAM berkata, setakat ini pihaknya tidak pernah mendengar anak-anak kapal wanita diminta mendedahkan diri semasa temuduga.

Syarikat-syarikat penerbangan perlu tahu tentang asas-asas gangguan seksual, lantaran itu tidak boleh mengambil kesempatan terhadap calon-calon yang ditemuduga.

Malah, tegasnya, calon-calon juga tidak perlu tunduk kepada permintaan yang dibuat oleh mana-mana syarikat penerbangan semasa ditemuduga.

“Apa pun, jika dakwaan itu benar, syarikat penerbangan berkenaan diminta tidak menafikannya, tetapi perlu memohon maaf kepada calon-calon terlibat,” jelasnya.

Mohd Akram berkata, jika pihak yang menemuduga mahu memeriksa kesan parut pada badan calon, ia boleh dilakukan oleh pengajar tata hias wanita di kawasan yang tidak mendedahkan calon.

Jelasnya, syarikat penerbangan juga tidak boleh memaksa sesiapa sahaja untuk berbuat demikian jika calon-calon tidak selesa.

Lagipun, selagi parut pada bahagian badan tidak jelas, tiada sebab perlu melakukan pemeriksaan terlalu terperinci pada bahagian tubuh calon wanita. – MalaysiaGazette

Comments are closed.