Sheila Majid bergambar bersama album terbarunya Boneka di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Penantian peminat Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid selama 13 tahun berakhir apabila penyanyi itu melancarkan album terbaharunya hari ini.

Album yang bertajuk Boneka itu mula berada di pasaran pada Jumaat lalu.

Sheila, 53, berkata, beliau mengambil masa selama tiga tahun untuk mengumpul material album tersebut.

Ibu kepada empat anak itu berkata, album yang pada mulanya memuatkan lima lagu itu menjadi 10 lagu akhirnya.

Jelasnya, segala perancangan berubah apabila beliau bertemu komposer dan gitaris terkenal dari Indonesia, Tohpati pada tahun lalu.

Sheila Majid menjawab soalan pemberita mengenai album terbaharunya, Boneka, di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 APRIL 2017.
Sheila Majid menjawab soalan pemberita mengenai album terbaharunya, Boneka, di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 APRIL 2017.

“Saya telah mengumpul material album ini selama tiga tahun dan memikirkan hanya ingin memuatkan lima lagu sahaja.

“Bagaimanapun selepas bertemu Tohpati, jumlahnya menjadi lapan dan akhirnya berjumlah 10 lagu,” katanya.

Sheila ditemui pada majlis pelancaran album Boneka di Hilton KL di sini hari ini.

Boneka didominasi empat lagu ciptaan Tohpati yang dihasilkan mengikut acuan dan cita rasa Sheila.

Ini termasuklah Melukis Dunia, Ku Nanti dan Haruskan Ku Pergi. Selain itu, Boneka turut mendapatkan khidmat Azman Abu Hassan, Omar K, Pacai, Kevin Chin dan Irwan Simantunjak selaku pencipta Boneka.

Lebih istimewa, Sheila turut memuatkan sebuah lagu Inggeris ciptaan Najwa Mahiaddin berjudul My All, sebagai memenuhi sebahagian impiannya untuk melahirkan sebuah album Inggeris yang belum disempurnakan lagi.

Sheila yang dipilih pemenang Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik Ke-22 berkata, beliau memilih nama Boneka bagi judul albumnya sebagai satu cerminan diri dan kehidupan peribadinya.

“Saya anggap Boneka ini ialah diri saya untuk peminat. Selama 33 tahun dalam industri seni, saya boleh diumpamakan sebagai boneka kepunyaan khalayak, berada di atas pentas dan menghiburkan mereka dengan penampilan penuh glamor dan selayaknya sebagai seorang penghibur.

“Cuma orang tidak tahu siapa Sheila Majid yang sebenarnya di luar daripada pentas hiburan.

“Saya sebenarnya seorang individu yang low profile tetapi bekerja di dunia yang high profile. Jadi apa yang dipersembah dan dipertonton kepada umum adalah satu boneka.

“Apa yang saya mahukan daripada khalayak ialah kasih sayang dan kesetiaan untuk terus bersama-sama saya selagi saya ada dalam industri muzik ini,” ceritanya. – MalaysiaGazette