Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi

ALOR SETAR – Pas Kedah mengatur rancangan hendak rampas semula negeri itu dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini.

Parti itu juga tidak perlu memikirkan masalah yang bakal timbul dalam pengagihan kuota kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dengan rakan tahaluf siyasi mereka sebagaimana sebelum ini.

Kali ini, pada PRU 14 ini, Pas boleh bersorak gembira kerana “dunia ini memang ana yang punya”.

Mereka boleh bertanding di semua 36 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen tanpa perlu merujuk atau bermesyuarat dengan PKR dan DAP untuk pengagihan kerusi.

Namun, dalam keghairahan Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi menyatakan kepada pimpinannya yang mereka yakin dapat merampas kembali Kedah pada PRU 14 ini, wujud sedikit kemusykilan dengan percaturannya itu.

Kemusykilan timbul apabila beliau menyatakan akan bertanding hanya di 24 kerusi DUN sahaja, bukan 36 kerusi sebagaimana diperuntukkan untuk Kedah.

Tetapi untuk Parlimen, mereka akan bertanding di semua 15 kerusi.

Pada PRU 13, Pas Kedah bertanding 24 kerusi DUN juga. Mereka menang sembilan kerusi, kalah 15 kerusi. Begitu juga di Parlimen, bertanding di lapan kerusi, menang satu, kalah tujuh kerusi.

Rakan tahaluf siyasi Pas masa itu, PKR bertanding 10 kerusi DUN, menang empat, kalah enam kerusi, manakala Parlimen, PKR menang empat, kalah tiga kerusi.

DAP bertanding dua kerusi DUN, dua-dua kerusi mereka menang.

Sekarang, selepas berlaku konfrontasi dengan PKR gara-gara tingkah laku kurang menyenangkan DAP terhadap Pas akan berlaku lebihan 12 kerusi DUN.

Kalau Pas Kedah tidak mengisi 12 kerusi itu, kemungkinan berlaku pertandingan dua penjuru antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) dengan BN.

Sedangkan 24 kerusi yang Pas akan bertanding, belum tentu akan berlaku pertembungan dua penjuru antara parti itu dengan BN.

Tidak mungkin PH akan memberi laluan mudah kepada Pas disebabkan dalam blok pembangkang sekarang ini pun berlaku pertambahan dua parti baharu, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Jadi, 12 kerusi kosong itu PH boleh agihkan sama rata kepada PAN dan PPBM.

Dalam percaturan ini, nampaknya PH lebih beruntung kerana sekurang-kurangnya mereka hanya berdepan dengan BN, manakala Pas akan dihimpit oleh calon BN dan calon PAN atau PPBM atau PKR atau DAP. – MalaysiaGazette