KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat penerbangan disarankan supaya kerap mengadakan ujian saringan air kencing bagi memastikan pekerja kru kabin bebas daripada gejala dadah.

Langkah itu perlu bagi memupuk kesedaran kepada semua pekerja syarikat penerbangan kerana ia melibatkan imej, integriti dan keselamatan sesebuah syarikat penerbangan.

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) dalam kenyataanya berkata, pendekatan itu bukan sahaja sebagai langkah berjaga-jaga tetapi dapat menyelamatkan kakitangan yang terperangkap dalam kegiatan dadah.

“Program saringan air kencing juga harus dijalankan dengan kerap oleh syarikat penerbangan ini bagi menyekat kegunaan dadah di tempat kerja,” katanya.

NUFAM mengulas tangkapan enam pramugari bersama enam lelaki di sebuah kediaman di Kota Warisan, Sepang baru-baru ini.

Kesemua mereka yang ditahan didapati positif dadah jenis ketamin.

Pada masa sama, NUFAM mengingatkan kakitangan kru kabin menjauhi dadah kerana ianya akan memusnahkan kerjaya mereka.

“Sekali terperangkap dengan dadah, bukan mudah untuk balik ke pangkal jalan,” katanya yang mendakwa kebanyakan mereka yang terperangkap dengan dadah terdiri daripada golongan muda dan perkembangan itu amat membimbangkan NUFAM. – MalaysiaGazette