Datuk Seri Shahril Mokhtar.

KUALA LUMPUR – Pemain Selangor FC, Faisal Halim telahpun dipindahkan ke wad biasa selepas sembilan hari berada di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital swasta, di Shah Alam.

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, proses pemulihan Faisal menunjukkan perkembangan yang sangat positif dan berada dalam keadaan stabil.

“Hampir setiap hari saya dan Faisal berbalas ‘voice note’ dan paling penting percakapannya makin jelas. Selera makannya juga bertambah malah, saya dengar (Faisal) sudah teringin nak makan nasi kandar.

“Saya boleh katakan hari ini hari yang lebih baik. Alhamdulillah hari ini Faisal sudah dipindahkan dari ICU ke wad biasa.

“Tetapi, masih lagi tidak dibenarkan pelawat kerana keadaan Faisal masih lagi sensitif. Namun keadaan dia stabil,” katanya.

Faisal dirawat selepas mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lalu.

Tonggak sayap kebangsaan itu juga sudah melalui tiga proses pembedahan termasuk prosedur graf kulit atau tampalan kulit untuk menutup luka lecur tersebut.

Dalam pada itu, Shahril turut memaklumkan, Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey akan terus dipantau oleh pakar untuk melihat perkembangan pemulihannya.

“Minggu depan pembedahan homograf akan dijalankan sama ada Isnin atau Selasa minggu depan.

“Prosedur seterusnya adalah kulit daripada bahagian lain badan Faisal akan ditampal pada bahagian melecur itu,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast