Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri), Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa (kiri) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Associates Sdn. Bhd, Datuk Seri Idris Jala (kanan) bergambar dengan buku Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) selepas beliau membentangkan laporan tersebut di Dewan Agong Tuanku Cancelor UiTM Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR, 23 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menyifatkan langkah berani kerajaan berdepan keadaan ekonomi global yang tidak menentu berjaya memberi ‘dividen besar’ kepada rakyat dan negara walaupun ada pihak mengkritiknya.

Tegas Datuk Seri Najib Razak, langkah-langkah tersebut walaupun tidak popular tetapi berjaya mengekalkan asas dan fundamental ekonomi negara terus berdiri teguh.

“Langkah-langkah yang diambil ia termasuk memansuhkan subsidi minyak, mengurangkan kebergantungan hasil minyak, merasionalisasi subsidid dan memperkenalkan GST – ia sekarang mula menghasilkan ‘dividen besar’ kepada rakyat dan negara.

“Oleh itu, saudara saudari, walau apa pun yang hendak diperkata ditohmah, biar apa pun yang difitnah oleh segelintir pihak tertentu,” kata Najib semasa pembentangan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2016 di UiTM Shah Alam malam ini.

Menurut Najib, pertumbuhan ekonomi negara pada suku pertama tahun ini membuktikan keutuhan asas ekonomi negara dan menyifatkannya sebagai sesuatu di luar jangka.

“Hasilnya, ekonomi kita telah berkembang pada kadar yang diluar jangka kerajaan mahupun Bank Dunia, iaitu pada 5.6 peratus untuk suku pertama 2017,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa bersyukur dengan rekod perkembangan ekonomi negara.

Menurut Najib, mengambilkira usaha-usaha kerajaan dalam membela rakyat, beliau yakin kadar kemiskinan rakyat akan jauh lebih rendah tahun ini.

“Kerajaan berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 0.6 peratus pada 2014, dan statistik terkini akan dikeluarkan pada September ini dimana kadar kemiskinan dijangka akan mengecil lagi.

“Sementara itu, kemiskinab negara sebenarnya telah hampir disifarkan kesemuanya,” katanya.

Selain itu, kebergantungan negara kepada hasil minyak daripada 41 peratus pada 2009 juga dikurangkan menjadi hanya 14.7 peratus pada 2016, kata Najib.

Asas ekonomi negara yang kukuh juga menyaksikan hampir 69 peratus peluang pekerjaan baharu dicipta setakat ini, katanya.

“Kita berasa amat bersyukur kerana sasaran 3.3 juta peluang pekerjaan baharu menjelang 2020 setakat ini, telah pun mencapai angka 69 peratus di mana sebanyak 2.26 juta pekerjaan baharu telah diwujudkan,” katanya lagi.

Selain itu, Najib juga berkata jurang Pendapatan Negara Kasar Per Kapita juga semakin mencapai sasaran pendapatan negara maju sebanyak $12,275 setahun.

“Pelaksanaan NTO oleh kerajaan sebenarnya adalah satu usaha penting untuk membantu meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakya Malaysia yang sewajarnya.

“Setakat ini, fakta menunjukkan kita telah mencapai $10,010 yakni jurang telah berjaya dirapatkan daripada 33 peratus pada 2010 kepada kini hanya 18 peratus,” ujarnya.

Tegas Najib lagi, kerajaan juga berjaya mengurangkan defisit fiskal hampir lebih separuh.

“Dari sudut fiskal negara, kerajaan telah berjaya mengurangkan lebih separuh defisit fiskal, daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.1 peratus pada 2016,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette