Idris Jala

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Idris Jala yang baharu sahaja dilantik sebagai pihak berkecuali di dalam mengemukakan fakta dan memberi cadangan berhubung isu Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) berkata, beliau kini hanya mahu memberi fokus terhadap tanggungjawabnya.

Tegasnya, beliau tidak mahu membuat sebarang ulasan mengenai isu tersebut kerana masih terlalu awal.

“Ketika ini saya memberi fokus sepenuhnya kepada tugas yang diamanahkan iaitu untuk mengemukaman fakta di dalam kes ini.

“Saya faham minat dan rasa ingin tahu rakyat serta media mengenai butiran terperinci kes ini namun ianya masih terlalu awal.
“Tidak elok jika saya membuat sebarang kenyataan buat masa ini.
Terima kasih kerana memahami,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Semalam, kerajaan melantik Idris, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua PegawaiEksekutif PEMANDU, di atas kapasiti peribadinya sebagai pihak bebas yang akan mengemukakakan fakta dan seterusnya memberikan cadangan terhadap isu FGV apabila lembaga pengarah syarikat tersebut mengarahkan empat pengurusan kanan termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad bercuti tanpa tempoh.

Ini ekoran dakwaan salah laku uru niaga membabitkan anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bh dengan syarikat berpangkalan di Dubai, Safitex. – MalaysiaGazette